Rakyat Malaysia Diseru Realisasikan Masa Depan Lebih Baik Untuk Negara

Diterbitkan: Sabtu, 31 Disember 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Sabtu mengajak seluruh rakyat Malaysia untuk bersama-sama dengan kerajaan bagi merealisasikan masa depan yang lebih baik untuk negara.

Najib berkata kejayaan bagi negara bukanlah sekadar mimpi, sebaliknya akan dapat dirangkul sekiranya semua pihak sanggup merancang dengan teliti dan bekerja keras bagi mencapainya.

"Tidak ada yang mustahil jika kita mampu mengimpikannya, sesungguhnya hari-hari yang terbaik kita masih berada di hadapan kita bukannya sudah tinggal dalam lipatan sejarah," katanya dalam perutusan Selamat tahun Baru 2012 yang disiarkan dalam blog www.1Malaysia.com.my pada Sabtu.

Najib menyimpulkan 2011 merupakan tahun yang amat monumental kepada negara kerana ia telah menyaksikan lengkapnya "roll out" inisiatif dasar kerajaan di bawah payung Dasar Transformasi Nasional (DTN) (2011-2020) dan pengenalan siri keempat Rangka Rancangan Jangka Panjang Negara (RRJP) semenjak ia mula diperkenalkan pada tahun 1971.

DTN yang merupakan komponen terakhir dalam usaha merealisasikan Wawasan Kebangsaan untuk menjadi sebuah negara maju berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020, bermula dengan pelancaran Program Transformasi Kerajaan (GTP) diikuti Program Transformasi Ekonomi (ETP) serta pelancaran Model Baru Ekonomi (NEM), Program Transformasi Politik (PTP) dan Program Transformasi Luar Bandar (RTP).

"Kesemua inisiatif dasar ini bukanlah sekadar pengumuman kosong mahupun tidak berpijak pada bumi yang nyata kerana jika dilaksanakan dengan betul dan mengikut jadual akan menyaksikan kemunculan sebuah Malaysia Baru".

Malaysia Baru menurut Najib merupakan sebuah negara yang bukan sahaja maju daripada segi ekonomi dengan kemakmuran yang dikongsi setiap strata dan segmen rakyat tetapi juga sebuah watan dengan tradisi demokrasi serta perbezaan pendapat yang membina dan membugar.

Perdana Menteri juga berkata kerajaan tetap komited dengan program islah dan pembaharuan dalam semua bidang dan aspek kehidupan bernegara kerana inilah kehendak dan aspirasi rakyat yang mahukan kehidupan yang lebih baik untuk mereka dan anak-anak mereka.

"Inilah usaha demi generasi masa depan Malaysia yang berhak membesar dalam suasana harapan bukannya kemuraman. Kita tidak akan tunduk kepada tekanan mana-mana pihak yang mahu menggagalkan matlamat mulia ini," katanya.

Bagaimanapun, katanya, kerajaan percaya untuk membina sebuah Malaysia yang baru, negara tidak boleh terus terperangkap dengan bebanan sejarah lampau. Atas dasar itu, kata Najib, di bawah PTP bagi mengimbangkan Keselamatan Kebangsaan dan Kebebasan Individu seperti yang terjamin dalam Perlembagaan Negara misalnya, kerajaan telah mengambil inisiatif untuk memansuhkan tiga proklamasi darurat yang berkuatkuasa semenjak lebih empat dekad yang lalu.

Dengan semangat yang sama, kerajaan juga telah mengumumkan pemansuhan beberapa Akta yang berkaitan Keselamatan dan Ketenteraman Awam seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri, Akta Kediaman Terhad, Akta Buang Negeri dan Seksyen 27 Akta Polis yang telah digantikan dengan Akta Perhimpunan Aman 2011 yang menjamin kebebasan individu untuk berhimpun secara aman seperti yang diperuntukkan undang-undang tertinggi negara, Perlembagaan Persekutuan, katanya.

"Usaha ini akan diteruskan dalam sesi Parlimen seterusnya pada tahun 2012 bagi memansuhkan ISA dan membentang rang undang-undang baru yang akan menggantikannya serta meminda AUKU (Akta Universiti dan Kolej Universiti) serta Akta Mesin Cetak dan Penerbitan," katanya.

Beliau berkata melalui bajet rakyat 2012 yang baru diluluskan Parlimen, kerajaan hari ini juga telah meneruskan tradisi negara berkebajikan yang telah menjadi amalan kerajaan yang memerintah semenjak merdeka lagi.

"Kita tidak pernah melupakan nasib warga luar bandar mahupun warga bandar, golongan berpendapatan rendah mahupun kelas pertengahan serta mereka yang berpendapatan tinggi, kita akan sentiasa membela untung nasib seluruh rakyat Malaysia dan akan terus prihatin terhadap denyut nadi dan aspirasi mereka," katanya. - BERNAMA

iklan

Video

Ahad, 19 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Cikgu Meera - Oh Sayangku

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Jumaat, 17 November 2017 2:00 PM

Pesawat Dedah Punca Menyepi

Jumaat, 17 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Hyper Act - Kasih

Khamis, 16 November 2017 2:00 PM

“Kalaulah Diberi Watak Utama...” - Riz Amin

Khamis, 16 November 2017 9:05 AM

Tak Tipu! Rawang Bypass Memang Gayat

Khamis, 16 November 2017 9:00 AM

Sufi Tak Mampu Tolak Haqiem Rusli

Rabu, 15 November 2017 9:00 AM

Bakat Mafarikha Tersia-sia Enam Tahun

Selasa, 14 November 2017 2:00 PM

Nasi Kandar 3 Jam!

Kolumnis

iklan

Iklan