Perbuatan Humban 5 Kepala Babi Di Hadapan Masjid Cubaan Untuk Cetus Suasana Tidak Harmoni - Pemuda MCA

Diterbitkan: Sabtu, 31 Disember 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Ketua Pemuda MCA, Datuk Dr Ir Wee Ka Siong mengutuk perbuatan jahat pihak-pihak tertentu yang ingin mencetuskan ketegangan dengan menghumban lima bungkusan yang mengandungi kepala babi di hadapan Masjid Al Falah, Taman Desa Jaya Johor Baru semalam.

Katanya, tindakan itu yang dilakukan pada saat-saat seluruh negara bersedia menyambut kedatangan tahun baru sebagai satu tindakan pengecut.

Beliau yang juga timbalan menteri pelajaran dan ahli parlimen Ayer Itam, Johor berkata, perbuatan dan tindakan para pengecut ini wajar dikutuk.

Katanya lagi, tidak kira sama ada perbuatan ini adalah satu perbuatan ingin bergurau atau mempersendakan, hakikatnya ialah, semua orang patut tahu ini adalah satu tindakan yang tidak dapat diterima oleh sesiapa pun.

"Bagaimanapun sikap bertenang yang ditunjukkan oleh rakyat Negeri Johor khususnya para jemaah Masjid Al Falah dalam menghadapi perbuatan ini harus dipuji," katanya lagi.

Beliau menegaskan, sekiranya perbuatan ini adalah untuk mencetuskan rasa tidak harmoni di kalangan masyarakat berbilang kaum dan agama Malaysia, rakyat tidak seharusnya terperangkap di dalam dakyah ini.

Sebaliknya, kata beliau, dengan mempertahankan keamanan dan mengutamakan kestabilan, Malaysia akan muncul lebih kukuh dan lebih bersatu sebagai sebuah negara.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan