Projek Angpau RM100 Untuk Veteran MCA Berjalan Lancar

Diterbitkan: Jumaat, 30 Disember 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Proses projek angpau RM100 "Penghargaan Kepada Veteran MCA" berjalan lancar, kata Setiausaha Penganjur Kebangsaan MCA Datuk Tee Siew Kiong.

"Setakat ini kami menerima respons menggalakkan iaitu jauh lebih tinggi daripada jangkaan Jawatankuasa Pusat parti dan ini menunjukkan anggota MCA bersatu padu dalam menunjukkan kecintaan dan kesetiaan kepada parti," katanya dalam kenyataan di sini, Jumaat.

"Saya amat menghargai staf ibu pejabat dan setempat dan juga semua anggota parti bagi kerja keras dan kerjasama mereka dalam memastikan kejayaan projek ini," katanya dan menurutnya amat mengujakan apabila melihat anggota veteran datang ke pejabat-pejabat MCA di seluruh negara untuk mengemas kini maklumat dan bertanyakan mengenai projek angpau itu.

Pada 22 November lepas, Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek mengumumkan pemberian sumbangan itu kepada kira-kira 300,000 anggota veteran MCA, berumur 60 tahun dan ke atas, sebagai menghargai sumbangan mereka kepada parti.

"Kejayaan projek veteran itu menunjukkan majoriti anggota parti masih setia bersama-sama parti dalam waktu susah dan senang, dan bahawa mereka mementingkan perpaduan dalam parti," kata Tee.

Beliau berkata proses pendaftaran bagi fasa pertama projek itu dijangka siap akhir bulan ini bagi membolehkan angpau itu diagihkan sebelum atau semasa Tahun Baru Cina.

Katanya mereka yang menghantar maklumat selepas akhir bulan ini, ibu pejabat dan cawangan MCA akan tetap memproses permohonan itu dan menyalurkan wang itu menjelang 31 Mac tahun depan.

"Bagi mereka yang menyertai MCA sebelum 1960-an dan sebelum pewujudan sistem pendaftaran pusat parti, anggota parti berkenaan telah didaftarkan di setiap negeri dan oleh yang demikian maklumat releven mungkin tidak ada dalam sistem pendaftaran pusat.

"Bagaimanapun, sekiranya pemohon mempunyai dokumen membuktikan keanggotaan mereka, mereka juga layak bagi angpau itu," katanya.

Sementara itu, Tee berkata sejak Pilihan Raya Umum ke-12 pada Mac 2008, MCA menerima lebih 30,000 permohonan baru untuk menyertai MCA termasuk sejumlah besar belia dan ini membuktikan perjuangan MCA diiktiraf dan masih relevan kepada rakyat Malaysia. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan