Pemuda Umno Pahang Daftar 17,000 Pengundi Baru

Diterbitkan: Jumaat, 30 Disember 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUANTAN: Pemuda Umno Pahang akan mempergiatkan usaha mendaftar mereka yang layak sebagai pemilih dengan Suruhanjaya Pilihan Raya bagi membolehkan mereka ini mengundi pada pilihan raya umum ke-13 nanti.

Ketua Pemuda Umno Pahang, Abu Jimi Samat, berkata bahawa sehingga Disember tahun ini, 17,000 orang telah didaftarkan sebagai pemilih menerusi pelbagai program pergerakan itu sejak 2009.

"Kita akan lancarkan "Jelajah Futsal BN Pilihan Orang Muda" awal tahun depan sebagai satu usaha lebih bersepadu bersama Wanita Umno dan Puteri Umno bagi mendaftarkan lebih ramai lagi pengundi," katanya kepada Bernama di sini, Jumaat.

Abu Jimi berkata berdasarkan perangkaan pergerakan itu, terdapat lebih 40,000 orang yang layak mengundi dikesan tidak mendaftar sebagai pemilih pada tahun 2009.

"Kita yakin sebenarnya angka 40,000 yang belum berdaftar itu (sebelum ini) adalah lebih besar, dan kita akan mendekati golongan muda menerusi program futsal ini di seluruh negeri, dan mendaftarkan mereka sebagai pemilih," katanya.

Abu Jimi berharap ibu bapa dan penjaga juga memainkan peranan untuk memastikan anak-anak mereka yang berusia 21 tahun ke atas mendaftar sebagai pengundi.

"Undi golongan muda dilihat bakal mempengaruhi keputusan pada pilihan raya umum ke-13 nanti dan golongan ini perlu diberi kesedaran tentang pentingnya kuasa mengundi bagi memilih pemimpin dan kerajaan yang akan menerajui negara," katanya.

Beliau berkata Pemuda Umno Pahang akan melaksanakan pelbagai program bagi mendekati golongan itu dan memberikan penjelasan mengenai senario politik semasa.

Abu Jimi sayap parti-parti komponen Barisan Nasional turut proaktif mendaftar mereka yang layak mengundi. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan