Malaysia Harap Dapat Pertingkat Prestasi Dalam Isu Pemerdagangan Orang Tahun Depan

Diterbitkan: Jumaat, 30 Disember 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Malaysia berharap dapat meningkatkan prestasinya dalam menangani isu pemerdagangan manusia tahun depan berbanding kedudukan pada 'Tier 2 Watch List' tahun ini.

Untuk itu, Ketua Setiausaha Kementerian Keselamatan Dalam Negeri Tan Sri Mahmood Adam berharap Amerika Syarikat melakukan penilaian yang adil dan telus terhadap usaha yang dilakukan negara ini.

"Kita sering mengharapkan penilaian yang adil dan telus daripada Amerika Syarikat. Kita bekerjasama dengan mereka seratus peratus," katanya, di sini, Jumaat.

Sementara itu, Mahmood berkata Malaysia akan menjadi tuan rumah bengkel Proses Bali peringkat Menteri mengenai Penyeludupan Manusia, Pemerdagangan Orang dan Perlindungan Mangsa berkaitan Jenayah Transnasional pada 12 dan 13 Januari ini.

"Bengkel ini akan membincangkan isu berkaitan perlindungan mangsa termasuk proses mengenal pasti mangsa, khidmat bantuan kepada mangsa dan kerjasama antarabangsa," katanya.

Bengkel itu yang diadakan dengan kerjasama Organisasi Migran Antarabangsa itu dijangka disertai kira-kira 50 wakil dari negara anggota Proses Bali. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan