Majlis Bahasa Inggeris Akan Ditubuhkan Untuk Tentukan Standard Bahasa Inggeris

Diterbitkan: Jumaat, 30 Disember 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Majlis Bahasa Inggeris akan ditubuhkan tahun depan bagi menentukan standard pencapaian Bahasa Inggeris pelajar sekolah, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata kini hanya terdapat satu pasukan khas Kementerian Pelajaran untuk menentukan pencapaian Bahasa Inggeris pelajar sekolah yang juga akan merujuk kepada pihak luar dalam menyediakan kertas peperiksaan.

"Bila kita kata pelajar itu pandai Bahasa Inggeris, itu apa maknanya, apa ukurannya, jadi untuk tujuan itu, kita sedang memikirkan pembentukan Majlis Bahasa Inggeris untuk menanda aras standard Bahasa Inggeris yang kita gunakan di Malaysia.

"Kerajaan tidak mahu bersikap syok sendiri untuk menyatakan bahawa pencapaian bahasa Inggeris yang dicapai oleh sekolah-sekolahnya mencapai piawaian antarabangsa kerana ada orang kata, mutu bahasa Inggeris pelajar dan rakyat negara ini masih rendah dan ada yang kata sebaliknya," katanya.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan mengejut ke Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Tun Dr Ismail di sini hari ini bagi melihat persiapan pihak sekolah bagi sesi persekolahan 2012 yang akan bermula minggu depan.

Beliau berkata majlis itu yang akan ditubuhkan selepas mendapat persetujuan kerajaan akan menggunakan pakar dari dalam dan luar negara serta mungkin akan mengadakan kerjasama dengan Universiti Cambridge.

Katanya majlis itu akan berfungsi sebagai badan bebas dan boleh juga dirujuk oleh pihak luar.

Muhyiddin, pada Jumaat turut mengumumkan bahawa Jawatankuasa Khas MBM/MBI (Mermartabatkan Bahasa Malaysia/Memperkukuhkan Bahasa Inggeris) merumuskan bahawa seramai 164,324 pelajar sekolah rendah menggunakan Bahasa Melayu sepenuhnya untuk mempelajari Sains dan 161,123 dalam Matematik.

Sementara seramai 56,025 pelajar mempelajari Sains dalam Bahasa Inggeris dan 56,248 pelajar dalam subjek Matematik, katanya.

Selebihnya mengikuti subjek tersebut menggunakan dwibahasa iaitu 258,622 dalam subjek Sains serta 261,600 dalam Matematik, katanya.

Beliau juga memaklumkan seramai 449,475 murid akan memulakan Tahun Satu di seluruh negara pada Januari ini dan seramai 437,475 pelajar lagi akan memasuki sekolah menengah. Beliau berkata kerajaan akan berusaha memastikan musim persekolahan yang bermula Januari ini berjalan lancar.

Kerajaan sudah menempah 122,846 unit kerusi dan 122,675 unit meja dan 24.4 juta buku teks untuk kegunaan para pelajar di negara ini melalui peruntukan tambahan sebanyak RM20 juta, katanya.

"Jika ada masalah pun ia berlaku di tiga buah sekolah di Pulau Tioman kerana penghantaran terpaksa ditunda akibat keadaan laut yang agak bergelora," katanya.

Untuk menampung pertambahan pelajar, katanya kerajaan telah menyiapkan sebanyak 26 buah sekolah rendah dan 25 buah sekolah menengah baru dan sebahagian besar dari sekolah itu akan mula menerima pelajar pada Januari depan, katanya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan