Keadaan Banjir Di Beberapa Negeri Kekal Terkawal

Diterbitkan: Jumaat, 30 Disember 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Keadaan banjir di beberapa negeri pada sebelah petang kekal terkawal dengan kebanyakkan mangsa kembali ke rumah masing-masing.

Di SARAWAK, keadaan banjir semakin pulih dan setakat 6 petang Khamis, hanya 687 mangsa daripada 222 keluarga masih berada di empat pusat pemindahan banjir.

Menurut kenyataan bilik gerakan negeri, masih terdapat 451 mangsa daripada 163 keluarga di Samarahan, Sri Aman (102 mangsa daripada 33 keluarga), Sibu (125 mangsa daripada 25 keluarga) dan Sarikei (sembilan mangsa daripada satu keluarga).

Keadaan cuaca yang hujan sejak empat hari lalu di Sarawak bukan sahaja menyebabkan kawasan rendah banjir, malah berlaku kejadian tanah runtuh termasuk di Kilometer 77 dan Kilometer 78 Jalan Serian-Sri Aman pada 8.45 malam Khamis, menyebabkan Jalan Trans Borneo masih terputus hubungan hingga sekarang.

Di JOHOR BAHARU, portal Majlis Keselamatan Negara melaporkan hanya daerah Segamat masih terjejas akibat banjir dan seramai 241 mangsa ditempatkan di enam pusat pemindahan di Kampung Spangloi, Kampung Batu Badak, Kampung Sanglang, Kampung Pogoh, Kampung Tandong dan Kampung Kuala Paya.

Portal Jabatan Pengairan dan Saliran pula melaporkan tiga sungai masih melebihi paras bahaya iaitu Sungai Muar di Buloh Kasap, Segamat dengan 9.40 meter, Sungai Muar di Bukit Kepong, Muar (3.23 meter) dan Sungai Simpang Kiri di Sri Medan, Batu Pahat (2.31 meter).

Di KUANTAN, seramai 15 mangsa banjir masih ditempatkan di pusat pemindahan di Rompin, Pahang.

Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang berkata sehingga 5 petang Khamis, mereka yang ditempatkan di Balai Raya Kampung Gadak terpaksa menunggu keadaan banjir di penempatan mereka pulih daripada fenomena air pasang.

"Setakat ini hanya kawasan penempatan di Kampung Gadak masih dinaiki air manakala kawasan lain telah pulih daripada bencana banjir berkenaan," katanya ketika dihubungi Khamis.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Meteorologi Pahang Azemi Daud berkata fenomena air pasang besar yang berlaku akan kembali kepada keadaan biasa pada akhir tahun ini.

"Ombak yang lebih tinggi di negeri-negeri pantai Timur Semenanjung Malaysia adalah disebabkan oleh angin kencang timur laut dan dijangka berterusan sehingga hari ini.

"Fenomena air pasang dan ombak besar ini boleh menyekat aliran air hujan ke laut dan dengan itu, boleh menyebabkan banjir lambat surut," katanya yang menasihati orang ramai agar mengurangkan aktiviti di kawasan laut dan pantai.

Sementara itu, keadaan banjir di Sandakan, Sabah beransur pulih dan 64 mangsa daripada 18 keluarga yang ditempatkan di pusat pemindahan dibenar pulang ke rumah masing-masing sejak pagi Khamis.

Menurut jurucakap Pusat Operasi Banjir Majlis Perbandaran Sandakan, semua mangsa yang merupakan penduduk Kampung Gum-Gum itu dibenarkan balik selepas air sungai turun di bawah paras berjaga-jaga.

Beliau berkata pusat pemindahan di Dewan Sri Gum-Gum ditutup pagi ini namun pusat operasi banjir masih dibuka bagi memantau keadaan banjir di daerah ini.

Di Beluran, Penolong Pegawai Daerah Roger Appolonius menasihatkan penduduk di tiga kawasan iaitu Sugut, Paitan dan Tangkarason agar berjaga-jaga dan berpindah jika air sungai meningkat secara mendadak. - BERNAMA

iklan

Video

Selasa, 26 September 2017 2:30 PM

“Tiada Yang Melampau Pun” – Dayana Roza

Selasa, 26 September 2017 10:30 AM

Bakat Namron Ditidakkan?

Selasa, 26 September 2017 7:16 AM

Inilah Fesyen Artis Sempena FFM29

Isnin, 25 September 2017 2:24 PM

Bersama Abby Adalah Momen Indah - Memey

Isnin, 25 September 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nadia Brian Bawa 'Beg Doraemon'

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Kolumnis

iklan

Iklan