Jentera Pilihan Raya Wanita BN Perlu Bersifat 1Malaysia

Diterbitkan: Jumaat, 30 Disember 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KOTA KINABALU: Semua jentera pilihan raya Wanita Barisan Nasional (BN) perlu bersifat 1Malaysia ketika turun padang berjumpa dengan pengundi, kata ketuanya Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil hapada Khamis.

Katanya semua parti komponen BN perlu berjumpa dengan semua pengundi tanpa mengira kaum dan tidak hanya berjumpa dengan pengundi dari sesuatu kaum sahaja.

Shahrizat, yang juga Ketua Pergerakan Wanita UMNO, berkata BN merupakan gabungan parti komponen yang mewakili semua rakyat berbilang kaum dan agama dan harus mempamerkan kerjasama dan perpaduan yang kukuh.

"Kalau kita anggota UMNO, kita jangan berjumpa dengan pengundi Melayu sahaja," kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu kepada pemberita selepas merasmikan jentera pilihan raya Wanita BN Sabah di sini.

Shahrizat meminta semua jentera wanita sentiasa bersiap sedia dalam menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 pada bila-bila masa sahaja kerana wanita sering menjadi harapan BN untuk membantu dalam memastikan kemenangan BN.

Sementara itu, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman berharap semua jentera pilihan raya BN memahami bidang tugas masing-masing dan sentiasa bekerjasama bagi memantapkan BN.

Katanya, anggota BN perlu memberi fokus kepada senario pengundi, cabaran masa kini dan pendekatan dalam menghadapi PRU-13 yang dikatakan bakal menyaksikan persaingan sengit. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan