Datuk Amar Mohamad Asfia Memangku Jawatan TYT Sarawak

Diterbitkan: Khamis, 29 Disember 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUCHING: Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar pada Khamis mengangkat sumpah pelantikan sebagai Pemangku Yang Dipertua Negeri Sarawak berkuat kuasa 27 Dis lepas hingga 10 Feb 2012.

Majlis menandatangani surat sumpah dan surat pengisytiharan tersebut disempurnakan di hadapan Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Alfred Jabu anak Numpang dan disaksikan Hakim Mahkamah Tinggi Kuching Datuk Rhodzariah Bujang di Dewan Lapau Dewan Undangan Negeri Sarawak, di sini pagi ini.

Turut hadir pada majlis itu ialah Menteri Pembangunan Tanah Tan Sri Dr James Jemut Masing dan Menteri Pembangunan Sosial Tan Sri William Mawan Ikom serta beberapa pemimpin negeri dan ketua masyarakat.

Yang Dipertua Negeri Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng ketika ini sedang bercuti rehat.

Abang Muhammad Salahuddin, 90, dilantik semula sebagai Yang Dipertua Negeri Sarawak bagi tempoh dua tahun berkuat kuasa 5 Dis lalu.

Beliau merupakan Yang Dipertua Negeri Sarawak yang keenam dilantik kali pertama pada 2001 menggantikan Tun Ahmad Zaidi Adruce Mohamed Noor yang meninggal dunia pada 2000. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan