Mara Terengganu Keluar Pinjaman Hampir RM31 Juta Kepada Usahawan

Diterbitkan: Rabu, 28 Disember 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA TERENGGANU: Majlis Amanah Rakyat (Mara) negeri Terengganu telah mengeluarkan pinjaman pembiayaan hampir RM31 juta kepada 360 usahawan dan peniaga di negeri itu dari Jan hingga Nov tahun ini.

Pengarah Mara Negeri Abdullah Mohamad berkata, daripada jumlah itu, RM21 juta disalurkan kepada 225 orang melalui Skim Pembiayaan Islamik Kontrak Ekspres (SPiKE) manakala RM9.892 juta pula kepada 135 peniaga biasa.

"Kita beri pembiayaan bergantung kepada peniagaan yang mereka jalankan, tetapi ia tidak melebihi RM500,000," katanya semasa merasmikan kedai serbanika "My Convenience Shop" di Lapangan Terbang Sultan Mahmud di sini Rabu.

Yang turut hadir pada majlis itu ialah Pengarah Urusan My Convenience Shop Abdul Karim Mohamad dan Pengurus Malaysia Airport Berhad (MAB) Terengganu Dr Ahmad Ramli Mahmood.

Bagi pembayaran balik pinjaman pula, Abdullah berkata Mara berjaya memungut RM15.413 juta sehingga Nov lepas dengan sasaran pungutan bayaran balik sebanyak RM17.8 juta.

"Bayaran balik peminjam Mara di Terengganu tidaklah begitu teruk. Dari segi bayaran balik, kita adalah antara lima negeri terbaik."

"Kita yakin sehingga akhir Disember ini, pungutan bayaran balik dari peminjam akan meningkat," katanya.

Sementara itu, Abdul Karim ketika ditemui pada majlis itu berkata, MyConvenience Shop di lapangan terbang itu adalah cawangan ke-tiga kedainya dan cawangan ke-empat akan dibuka bulan depan di Kuala Berang, Hulu Terengganu.

"Saya sangat berterima kasih kepada Mara kerana memberi sokongan dan bantuan modal bagi meluaskan perniagaan saya," katanya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan