Kanser Tidak Patahkan Semangat Marina Tulis Buku Kanak-Kanak

Diterbitkan: Rabu, 28 Disember 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

NEW YORK: Khabar sedih yang dirinya merupakan seorang daripada "mangsa" kanser payu dara tidak menghalang Marina Mustafa untuk meneruskan hidup, sebaliknya berjaya menghasilkan sebuah buku kanak-kanak bertajuk "Little Asha's Adventure - A Girl's Journal Of Malaysia".

Malah gambar-gambar yang terdapat di dalam buku berkenaan dilukis sendiri oleh Marina, 39, yang berasal dari Kuala Lumpur.

Buku ilustrasi 54 muka surat itu menceritakan mengenai pengalaman seorang budak perempuan berusia lapan tahun bernama Asha, yang tinggal di sebuah ladang di North Carolina, Amerika Syarikat, melawat datuk dan nenek sebelah ibunya di Malaysia.

Buku itu yang diterbitkan AuthorHouse boleh didapati di kebanyakan kedai buku di seluruh Amerika Syarikat termasuk Banes & Nobles dan juga secara online di Amazon.com dengan harga AS$17.

Marina kini menjadikan Boone, sebuah pekan kecil di North Carolina, sebagai tempat tinggalnya selepas berkahwin dengan ahli kiropraktor Dr Brad Batchelor, yang dikenalinya semasa melakukan lawatan ke negara ini atas urusan perniagaannya lima tahun lepas.

Semasa dihubungi Bernama di rumahnya di Boone, baru-baru, ibu kepada Asha, yang berusia tiga tahun, berkata : "Pada awal 2010, saya didiagnosis dengan barah payu dara peringkat satu, dan ketika itu saya baru sahaja mencecah umur 37 tahun manakala anak saya baru berusia 15 bulan".

"Saya mula menulis pada bulan saya didiagnosis. Menulis dan melukis membuatkan saya lupa pada penyakit saya. Saya amat bertuah kerana kanser masih di peringkat awal dan diberikan dua pilihan oleh doktor: - melakukan surgeri "lumpectomy" (mengeluarkan ketulan kanser) dari payu dara kiri saya atau melakukan "mastectomy" iaitu membuang payu dara tanpa sebarang radiasi.

"Saya diberikan pilihan untuk menjalani rekonstruktif payu dara selepas itu dan selepas memikirkannya secara mendalam dan menrundingi tiga doktor untuk mendapatkan pandangan berbeza, hati saya berkata saya patut memilih pilihan kedua," katanya.

Marina, lulusan ekonomi dari Missouri University di Kansas City pada 90-an berkata beliau mengambil masa hampir empat bulan untuk menyiapkan buku itu.

Ketika ditanya apa yang mendorongnya untuk menulis buku itu, katanya: "Sebaik pulang daripada bercuti di Malaysia dengan keluarga saya, dan menyedari bahawa kanak-kanak belajar mengenai kebudayaan dan warganegara menerusi internet, sumber-sumber media dan malahan di sekolah, buku ini ditulis untuk mendidik kanak-kanak mengenai kebudayaan negara Asia seperti Malaysia.

"Saya percaya dengan mendedahkan kanak-kanak kepada kebudayaan dan warganegara lain, mereka akan dapat memainkan peranan lebih baik dalam kepelbagaian masyarakat global," kata Marina yang turut aktif dalam aktiviti kesedaran kanser payu dara dan turut menulis untuk majalah dan blog mengenai isu kesihatan di negara ini.

Beliau berkata buku itu khusus untuk kanak-kanak dan ibu bapa kerana banyak kanak-kanak di Amerika Syarikat datang daripada latar belakang dan keturunan etnik berbeza dan kahwin campur.

"Kanak-kanak perlu diajar untuk berbangga dengan keturunan mereka. Mereka juga perlu dipupuk dengan sensitiviti terhadap kepercayaan, nilai dan adat resam bangsa lain.

"Little Asha's Adventures akan menunjukkan kepada kanak-kanak (dan ibu bapa) bahawa terdapat banyak perkara yang menyeronokan dan menarik untuk mereka pelajari mengenai negara yang berbeza daripada Amerika," katanya.

Katanya Malaysia adalah antara beberapa negara di dunia yang penduduknya hidup secara aman dan harmoni walaupun berbilang bangsa dengan mengamalkan adat resam, bahasa dan agama berbeza.

"Malaysia menyambut pelbagai perayaan sepanjang tahun. Jadi, kanak-kanak daripada usia muda diajar untuk menerima dan menghormati penduduknya tanpa mengira latar belakang, bangsa dan agama mereka. Saya membesar dalam masyarakat pelbagai etnik, perayaan dan adat resam," katanya.

Marina berkata Asha yang merupakan watak utama dalam buku itu mengingatkan dirinya semasa kecil yang dikelilingi kawan-kawan daripada latar belakang kebudayaan dan berbeza di mana beliau sentiasa berasa kagum dan mempunyai perasaan ingin tahu mengenai cara hidup mereka yang berbeza dengannya.

Wanita itu sedang menyiapkan buku keduanya mengenai pengalaman Asha melawat Bali, Indonesia. - BERNAMA

iklan

Video

Selasa, 21 November 2017 5:42 PM

Apa Terjadi Dengan Wartawan mStar?

Selasa, 21 November 2017 2:13 PM

Selepas Setahun Amira Othman 'Tidur'

Selasa, 21 November 2017 9:00 AM

Kenali Siapa Penyanyi Lagu 'Bismillah'

Isnin, 20 November 2017 7:37 PM

Pakatan Dalam Misteri - Tun M

Isnin, 20 November 2017 2:30 PM

Karier Tak Rosak - Fezrul khan

Isnin, 20 November 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nabila Razali Simpan Foto Aedy Ashraf?

Ahad, 19 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Cikgu Meera - Oh Sayangku

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Jumaat, 17 November 2017 2:00 PM

Pesawat Dedah Punca Menyepi

Kolumnis

iklan

Iklan