Tragedi Tsunami Terus Segar Di Ingatan Penduduk Pulau Pinang

Diterbitkan: Selasa, 27 Disember 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

GEORGE TOWN: Tragedi ombak besar atau tsunami yang berlaku tujuh tahun lepas terus segar dalam ingatan mangsa di negeri ini kerana ia bukan sahaja meninggalkan memori luka bahkan turut mengubah corak kehidupan seharian mereka.

Tragedi yang berlaku pada 26 Dis, 2004 itu mengakibatkan 52 mangsa terkorban manakala 141 cedera dan ketika kejadian kira-kira 1.30 tengah hari itu berlaku, kebanyakan mangsa sedang berkelah dan memancing di tepi pantai di Tanjung Bungah, Batu Ferringhi dan Balik Pulau.

Disebalik kisah duka akibat bencana alam itu, namun tidak kurang juga yang mendapat rahmat apabila keadaan hidup mula berubah dengan memperoleh pekerjaan baru serta tempat tinggal yang lebih sempurna.

Mokhtar Syeikh Mohamad, 61, penduduk Kampung Baru, Tanjung Bungah berkata selepas tsunami, kehidupan beliau sekeluarga berubah menjadi lebih baik, daripada seorang nelayan kepada seorang peniaga makanan.

"Tapak perniagaan ini dahulunya bekas tinggalan rumah mangsa tsunami. Mereka berpindah dari sini ke pangsapuri kos rendah berhampiran. Daripada dibiarkan tidak terurus saya memohon kepada ahli jawatankuasa kampung untuk berniaga di sini," katanya kepada pemberita ketika ditemui, Isnin. Mokhtar yang sudah enam tahun berniaga di tepi laut berhampiran masjid terapung itu mengakui berasa gerun dan bimbang apabila sekali sekala desir ombak kelihatan besar dan berbunyi garang. "Rasa takut juga bila ombak bergulung lebih-lebih lagi pada penghujung tahun seperti ini, Saya pun selalu berpesan kepada pengunjung kedai agar sentiasa berjaga-jaga ketika di tepi laut dan jangan leka bermain air," katanya.

Lain pula nasib yang menimpa Zainab Wan Chik, 55, yang sebelum peristiwa hitam itu merupakan seorang yang aktif tetapi kini tidak boleh bergerak bebas kerana lumpuh dan masalah jantung.

"Rumah saya yang paling teruk terjejas pada waktu itu, ombak datang seperti magnet, menarik apa sahaja yang berhampiran dengannya, ia datang seperti naga dan membaham apa saja sehingga saya tinggal sehelai sepinggang," katanya yang masih trauma dengan kejadian itu.

Bagi Mohamad Daud Abdullah, 45, kehadiran tsunami membuka lembaran baru dalam hidupnya apabila beliau mula terbuka hati untuk memeluk agama Islam selepas kira-kira tiga bulan tragedi ngeri itu berlaku. "Ketika itu saya sedang berkelah bersama rakan di tepi Pantai Miami, Batu Ferringhi, air laut naik secara mendadak. Walaupun panik saya sempat menarik dua orang pengunjung pantai yang hampir hanyut dibawa arus yang kuat naik ke tebing," katanya.

Dia yang tidak pernah kenal erti serik tetap meneruskan rutin hidupnya sebagai nelayan walaupun pernah melihat sendiri bagaimana ombak yang selama ini tenang dan dianggap sebagai 'sahabatnya' itu boleh bertukar menjadi ganas dan menggerunkan.

"Bagi saya laut adalah punca rezeki saya. Selagi saya masih kuat dan sihat, saya akan tetap turun ke laut. Pekerjaan ini sudah sebati dengan jiwa saya," katanya.

S. Tulaashi, "bayi tsunami" yang terselamat selepas dihanyutkan ombak ketika berusia 22 hari dalam kejadian itu berkata peristiwa itu amat bermakna buat dirinya dan keluarga.

"Ibu dan bapa ada bercerita kepada saya keadaan pada waktu itu. Sukar untuk mempercayainya...saya suka bermain di tepi pantai, rasa gembira dapat bermain air laut...tetapi mesti ada keluarga yang menemani saya ke pantai," katanya yang kini berusia tujuh tahun dan bercita-cita menjadi saintis.

Bapanya, A. Suppiah, 63, berkata walaupun kejadian menimpa anak bongsunya itu berlaku sekelip mata namun ia masih bermain-main di fikirannya tetapi trauma yang dialami itu tidaklah sehingga mematahkan semangat mereka untuk meneruskan perniagaan kedai makan di tempat sama.

"Walaupun perniagaan kami beberapa tahun kebelakangan ini tidak begitu baik, namun kami akan tetap berada di sini. Bagi kami di sinilah tempat kami mencari rezeki," katanya.

Akibat tragedi itu kedai makan yang diusahakan Suppiah sejak 1990 itu kerugian RM60,000 dan menurutnya beliau mengambil masa lapan bulan untuk 'bangkit' semula selepas malapetaka itu berlaku.

Dalam kejadian itu Tulaashi yang ketika itu berusia 22 hari dan sedang tidur di atas tilam dalam bilik di kedai makan itu, dihanyutkan ke laut kira-kira 15 minit sebelum ditolak semula ke pantai tanpa mengalami kecederaan. - BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Kolumnis

iklan

Iklan