Perkhidmatan Komuter Lebih Selesa Mulai Februari 2012 Dengan Set Tren SCS

Diterbitkan: Selasa, 27 Disember 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

BATU GAJAH: Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dijangka menyediakan perkhidmatan komuter lebih baik dan selesa bagi pengguna di Lembah Klang apabila empat daripada 38 set tren enam gerabak (SCS) mula beroperasi Februari depan.

Presiden KTMB Dr Aminuddin Adnan ia sekaligus dapat mengatasi pelbagai masalah yang dihadapi oleh perkhidmatan sedia ada yang menggunakan set tren tiga gerabak (EMU) seperti kelewatan, kekurangan gerabak dan sistem tergendala yang menjejaskan keberkesanan perkhidmatannya.

"Kita mempunyai 25 set EMU yang setengah daripadanya perlu dibaik pulih yang mana ia perlu dilaksanakan secara berperingkat-peringkat. Sekarang kita tidak boleh baik pulih set EMU kerana tidak mempunyai set tren yang mencukupi (bagi menampung penggunaan)...sebab itu kadang-kala perkhidmatan komuter sering tergendala," katanya pada taklimat kepada media di Kompleks KTMB di sini hari ini.

Beliau berkata pada masa sekarang KTMB tidak berupaya untuk memendekkan waktu kekerapan perkhidmatan komuter kerana tidak mempunyai bilangan set tren yang mencukupi bagi menampung penggunaan.

KTMB akan meningkatkan keberkesanan operasi komuter dengan memendekkan waktu kekerapan perkhidmatan apabila mempunyai bilangan set tren yang mencukupi dengan ketibaan SCS tahun depan iaitu kekerapan perkhidmatan daripada 30 minit kepada hanya 15 minit pada waktu puncak, katanya.

Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) Tan Sri Syed Hamid Albar berkata walaupun mengikut perancangan awal KTMB menawarkan perkhidmatan menggunakan set SCS pada tahun ini, namun KTMB terpaksa menundanya bagi menjamin keselamatan keseluruhan operasi perkhidmatan itu.

Katanya setiap set tren yang mampu membawa sehingga 1,000 pengguna pada satu hala perjalanan itu perlu mengikut spesifikasi, peruntukan undang-undang dan standard antarabangsa dalam usaha menawarkan dan memperbaiki perkhidmatan komuter kepada pengguna.

Sehingga hari ini, KTMB telah menerima sembilan daripada 38 set SCS dan empat lagi dijangka tiba pada Januari ini manakala baki 25 set akan diterima secara berperingkat sehingga Jun 2012, katanya.

"Kesemua 38 set tren SCS dijangka akan dapat berada dalam perkhidmatan mulai Jun 2012 dan waktu kekerapan akan dipercepatkan lagi kepada 10 minit setiap ketibaan dengan adanya 63 unit tren bagi perkhidmatan komuter iaitu 38 set SCS dan 25 set EMU," katanya.

Beliau berkata setiap satu daripada empat set SCS yang diterima KTMB tersebut kini dalam proses akhir pengujian dan pentaulihan yang dilaksanakan oleh jurutera dari syarikat pengeluar CSR Zhuzhou Electric Locomotive Co (ZELC), jurutera KTMB serta diselia oleh SPAD.

Kerja-kerja ujian terhadap tren pertama telah 96 peratus selesai manakala ujian rutin bagi set tren pertama, kedua dan ketiga telah siap 100 peratus dan ujian rutin bagi set tren keempat pula telah 20 peratus selesai, katanya.

KTMB menandatangani perjanjian dengan ZELC, sebuah syarikat pembuat set tren terkenal di China pada 19 Mei tahun lepas, berhubung pembelian set tren SCS yang menelan kos RM1.89 bilion untuk perkhidmatan komuter di Lembah Klang, di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) bagi pengangkutan awam.

Set tren SCS itu itu dibina khusus menggunakan tolok meter Malaysia (berukuran satu meter dan 33/8 inci lebar) yang boleh menjangkau kelajuan sehingga 140 kilometer sejam. - BERNAMA

iklan

Video

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Jumaat, 15 September 2017 2:00 PM

Cassidy Malu Cakap Melayu?

Kolumnis

iklan

Iklan