PBS Akan Siasat Bantahan Pihak Tertentu Terhadap Penubuhan RCI

Diterbitkan: Selasa, 27 Disember 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PAPAR: Parti Bersatu Sabah (PBS) akan mengkaji motif di sebalik bantahan pihak tertentu terhadap penubuhan sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai isu pendatang asing tanpa izin dan kewarganegaraan palsu di Sabah.

Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah Datuk Johnny Mositun, yang juga Ketua Penerangan PBS, berkata beliau terkilan muncul pihak tertentu yang menyuarakan bantahan setelah penubuhan RCI itu dipersetujui di peringkat Parlimen.

"Saya berpendapat bantahan pihak berkenaan tidak berasas. Rata-rata semua (rakyat Sabah) bersetuju dengan penubuhan RCI.

"Kita memikirkan kepentingan dan hak-hak orang asal di Sabah," katanya ketika ditemui pemberita pada majlis rumah terbuka Krismasnya di sini Isnin.

Beliau mengulas bantahan daripada sebuah persatuan di Sandakan baru-baru ini yang dikenali sebagai Persatuan Rantau Putra yang berpendapat penubuhan RCI itu tidak berperlembagaan dan tidak adil.

Persatuan itu mengatakan kebanyakan pendatang merupakan pelarian yang memiliki dokumen pengenalan IMM13, manakala bilangan pendatang yang memiliki kad pengenalan Malaysia atau MyKad adalah kecil.

Gesaan untuk menubuh RCI berkenaan bermula apabila seorang ahli perniagaan dan bekas anggota Umno bahagian Kota Kinabalu Datu Mohd Akjan Datu Ali Muhammad, yang juga membantah penubuhan RCI itu, 'ditabalkan' sebagai Sultan Sulu ke-33 pada sebuah majlis tertutup di Kota Kinabalu pada 2 Februari lalu.

Pada 13 Disember lepas, Timbalan Ketua Menteri Sabah Tan Sri Joseph Pairin Kitingan, yang juga Presiden PBS, berkata Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Berhubung Penambahbaikan Proses Pilihan Raya telah bersetuju agar Suruhanjaya Pilihan Raya melaksanakan 10 cadangan, yang mana penubuhan RCI merupakan sebahagian daripada cadangan berkenaan.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Dr Maximus Ongkil, yang juga Timbalan Presiden PBS, mempengerusikan jawatankuasa itu. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan