Tsunami 2004 Kian Pudar Daripada Ingatan

Diterbitkan: Ahad, 25 Disember 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SUNGAI PETANI: Selepas tujuh tahun, bencana tsunami yang melanda rantau ini sehari selepas sambutan Krismas pada 2004 dan mengorbankan ratusan ribu nyawa termasuk hampir 70 di negara ini, kian dilupakan.

Di Kota Kuala Muda di sini, 12 nyawa terkorban akibat ombak gadang yang tercetus susulan gempa bumi berukuran 9 pada skala Richter di Banda Aceh, Indonesia itu.

Namun, selain pembinaan tugu peringatan serta tinggalan rangka beberapa buah rumah yang musnah akibat bencana itu, tidak ada sebarang acara diadakan terutama oleh pihak berkuasa bagi mengenang tragedi tersebut.

"Kami di sini hanya buat majlis bacaan Yassin dan tahlil bagi memperingati mangsa tragedi," kata Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Komuniti Taman Permatang Katong, Muhammad Hussain ketika ditemui pemberita.

Beliau berkata sebaiknya satu sambutan khas diadakan pihak berkuasa pada ulang tahun kejadian itu sebagai ingatan kepada masyarakat.

Taman Permatang Katong dibina kerajaan pada 2006 bagi menempatkan lebih 100 keluarga dari Kampung Kepala Jalan, Kampung Masjid dan Kampung Keda di pesisir pantai Kota Kuala Muda yang musnah akibat tragedi tersebut.

Mengenang kembali kejadian, Muhammad, 45, berkata pada hari tersebut terdapat tiga kenduri masing-masing di Kampung Kepala Jalan, Kampung Masjid dan Kampung Keda.

"Boleh dikatakan pada hari itu hampir semua penduduk yang rata-rata bekerja sebagai nelayan tidak turun ke laut bagi menghadiri kenduri dan saya sendiri menjadi tukang masak bagi kenduri Kampung Kepala Jalan," katanya yang mengusahakan bengkel besi.

Katanya selesai memasak, beliau pulang ke rumah untuk menjaga pasangan anak lelaki kembarnya yang berusia setahun bagi membolehkan isterinya menghadiri kenduri.

"Kira-kira 1.45 tengah hari isteri saya balik ke rumah dan pada masa itu ombak besar melanda, menyebabkan saya menggendong kedua-dua anak dan lari menyelamatkan diri bersama isteri," katanya.

Beliau berkata rumah dan bengkel besinya yang terletak di seberang jalan kira-kira 100 meter dari pantai musnah dalam kejadian itu.

Muhammad berkata apabila air mula surut, beliau kembali ke rumah yang mengadakan kenduri itu dan cuba membantu mangsa termasuk mengangkat dua mayat wanita yang terkorban dalam kejadian.

Sementara abang Muhammad, Idris yang juga Ketua Kampung Kepala Jalan, berkata beliau mengalami trauma selama berbulan-bulan selepas tragedi itu.

"Dengar deruan ombak...malah bunyi kenderaan pun saya rasa takut," katanya yang masih meneruskan pekerjaan sebagai nelayan pantai.

Idris berkata semasa kejadian, beliau menemani kira-kira 15 anggota keluarganya yang datang bercuti untuk berkelah di tepi pantai Kota Kuala Muda.

"Kami bawa makanan, tikar dan keperluan lain. Masa hendak hidang makanan saya lihat air sungai kering, air laut juga surut dengan banyak dari biasa. Masa tu kira-kira pukul 1 tengah hari saya lihat ombak putih panjang," katanya.

Beliau berkata tidak lama kemudian pantai dilimpahi air yang pantas menenggelami kawasan sekitar, menyebabkan mereka semua lari menyelamatkan diri ke tingkat dua rumahnya.

"Semua barang-barang di tingkat bawah musnah namun saya bersyukur kami selamat kerana air kira-kira 1.5 meter tinggi tidak sampai ke tingkat atas," kata Idris yang kesal kerana tragedi itu semakin dilupakan, terutama golongan muda di kampung tersebut. - BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Kolumnis

iklan

Iklan