SPAD Umum Syarat Kelayakan Dana Sokongan Sementara Bas Henti-Henti

Diterbitkan: Ahad, 25 Disember 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat Malaysia (SPAD) hari ini mengumumkan syarat kelayakan untuk mana-mana pengendali swasta yang ingin mendapatkan dana sokongan sementara bas henti-henti.

Syarat utama untuk mereka yang ingin memohon ialah berkemampuan dan berupaya memulakan operasi serta-merta dengan mengikut garis panduan yang ditetapkan SPAD.

SPAD, dalam iklan yang disiarkan di akhbar tempatan, Mingguan Malaysia, hari ini turut memaklumkan bahawa setiap pemohon hendaklah mempunyai lesen Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat / Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (SPAD/LPKP).

"Pada masa permohonan dibuat, pemohon mestilah menjadi pengendali yang sah bagi laluan yang telah diluluskan SPAD/LPKP," jelas pengumuman yang dibuat pada akhbar tersebut.

Bagi yang layak memohon, borang permohonan boleh didapati di laman web SPAD bermula 3 Januari 2012 atau di pejabat SPAD sendiri.

Antara lain, pengumuman tersebut turut memaklumkan agar pemohon melampirkan senarai penyata KWSP/PERKESO pemandu-pemandu bas.

Walau bagaimanapun, bagi pengendali perkhidmatan bas yang dimiliki Kerajaan (Persekutuan ataupun Negeri), mereka tidak layak memohon.

"Mereka juga mestilah tidak menerima bantuan kewangan kerajaan (Persekutuan atau Negeri) bagi laluan-laluan yang dipohon," jelas kenyataan tersebut.

Syarat lain yang dinyatakan termasuklah bas-bas yang disenaraikan harus mempunyai lesen pemeriksaan Puspakom, cukai jalan semasa dan insurans sah.

Isnin lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan bahawa kerajaan telah meluluskan dana berjumlah RM400 juta bagi membantu syarikat bas henti-henti yang sedang menghadapi masalah kewangan di dalam meneruskan operasi mereka.

Dana yang diuruskan SPAD itu akan diagihkan kepada syarikat bas henti-henti sejumlah RM100 juta pada suku pertama 2012.

Bagi fasa pertama, dana bantuan itu akan digunakan untuk membantu syarikat-syarikat yang bermasalah di Selangor diikuti dengan negeri-negeri lain seperti Negeri Sembilan dan Pahang.

Katanya, dana ini juga merupakan langkah interim yang diharap dapat menyelamatkan perkhidmatan bas henti-henti, demi kepentingan rakyat yang terlibat selaras 'Rakyat Didahulukan' yang sentiasa menjadi pendekatan kerajaan.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan