“Berapa Peruntukan Ruang Untuk Saya Dalam Harakah?” - Hasan Ali

Diterbitkan: Sabtu, 24 Disember 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Bekas pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Hasan Ali mempersoalkan berapa peruntukan ruang bagi beliau dalam media PAS iaitu Harakah apabila timbul dakwaan mengatakan beliau masih menggunakan media Umno.

“Tidak ada yang dinamakan media Umno. Memanglah kerajaan berkuasa maka sudah tentu dirujuk kepada kerajaan. Dan Umno sebahagian daripada kerajaan maka dikatakan media Umno.

“Saya menerima mana-mana media pun. Keterbukaan media-media ini memberi ruang kepada orang-orang seperti saya, lebih besar daripada media milik parti sendiri,” katanya pada sidang media di kediamannya di sini, Sabtu.

Dr Hasan menjadikan kontroversi atau polemik yang berlaku sejak dua, tiga minggu lalu sebagai contoh yang boleh dibuat sebagai analisis kandungan dalam Harakah.

“Semasa saya jadi Pesuruhjaya PAS Selangor dahulu pun saudara (media) boleh buat analisis kandungan, berapa peruntukan ruang kepada saya berbanding orang lain?

“Kadang-kadang saya lihat ruang diberikan kepada parti-parti komponen lain dan bukannya kepada orang PAS, dan lebih besar peruntukan kepada sesetengah golongan dalam parti sendiri,” katanya.

Bagi beliau, siapa yang dapat menyebarkan atau meletakkannya kepada masyarakat seluas-luasnya maka sudah tentu media itu menjadi pilihan.

“Kalau saya hanya guna media PAS. Katakanlah boleh digunakan, ia hanya merujuk pada orang PAS sahaja. Orang Umno, orang luar tak baca kerana edarannya terhad.

“Tetapi kalau saya menggunakan media-media yang sudah ‘establish’ dengan tidak ada niat untuk mendapatkan keuntungan politik di mana-mana pun saya merasakan itu adalah tindakan yang terbaik untuk saya setakat ini,” katanya.

Dr Hasan berkata, perkara itu bukan satu tuduhan serkap jarang namun terdapat desas-desus dan aduan daripada anggota-anggota dan pemimpin-pemimpin PAS juga masyarakat umum yang melanggan Harakah.

Beliau menjelaskan, mereka melihat kandungannya dalam parti itu lebih kepada satu-satu golongan dan tidak mirip kepada satu golongan lain.

“Kenapa timbul laporannya atau kandungannya agak sedikit bersifat ‘menjurus’ kepada golongan-golongan tertentu?

Sebagai contoh, katanya, Timbalan Mursyidul Am PAS, Datuk Dr Haron Din dalam temuramahnya mengenai pandangannya terhadap Gereja Methodis Damansara Utama (DUMC) sehingga kini masih tidak disiarkan.

“Bayangkan kalau temuramah Haron Din tidak disiarkan, bagaimana agaknya dengan Hasan Ali yang hanya ‘orang kecil’?” katanya.

Dr Hasan bagaimanapun tidak menafikan sumbangan Harakah sebenarnya telah berjuang memberikan satu imej tersendiri dan merupakan satu institusi dalam sejarah orang Islam serta orang Melayu di Malaysia.

“Saya merasakan Harakah memerlukan satu perubahan dalam organisasi dan fungsinya. Ini termasuk ilmu-ilmu pengurusan baru media,” katanya.

Beliau berharap agar pimpinan tertinggi parti dapat melihat semula cadangan itu.

“Diharapkan agar tindakan-tindakan sepatutnya dapat diambil untuk membawa imej PAS kepada satu imej yang suatu masa dahulu merupakan rujukan kepada media-media lain,” katanya.

iklan

Video

Isnin, 23 Oktober 2017 5:54 PM

Adam, Ezlynn Tuduh Menuduh! Mana Satu Betul?

Isnin, 23 Oktober 2017 4:10 PM

Kiriman Akhir Sebelum Karam

Isnin, 23 Oktober 2017 2:30 PM

Mona Bukan Kehidupan Saya - Shahir

Isnin, 23 Oktober 2017 1:31 PM

Tragedi Tanah Runtuh: Semua Mayat Dijumpai

Isnin, 23 Oktober 2017 9:00 AM

#BiziBody: Aizat Amdan Tak Lupa Dua Benda Ini!

Jumaat, 20 Oktober 2017 2:30 PM

Umur Dah Lanjut Pun Nak Menyanyi Lagi?

Jumaat, 20 Oktober 2017 9:00 AM

#akuStar: Irfan Haris - Pesan

Jumaat, 20 Oktober 2017 8:30 AM

Donut Untuk Sang Hero

Khamis, 19 Oktober 2017 1:00 PM

Lebih Baik Jual Album Sendiri - Firman

Khamis, 19 Oktober 2017 8:30 AM

Keringat Wanita Waja

Kolumnis

iklan

Iklan