Polis Masih Teruskan Siasatan Kes NFC - Timbalan KPN

Diterbitkan: Jumaat, 23 Disember 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Polis masih meneruskan siasatan terhadap kes dana Pusat Fidlot Nasional (NFC), kata Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Khalid Abu Bakar hari ini.

Katanya walaupun polis telah menyerahkan kes seorang ahli perniagaan yang dipercayai mempunyai kaitan dengan NFC kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), pihaknya tetap menyiasat kes tersebut.

Khalid bagaimanapun enggan mengulas lanjut perkara itu ketika ditanya pemberita mengenai perkembangan terkini siasatan terhadap NFC, di sini.

"Biar kita siasat dulu, nanti kalau cakap ada yang marah," katanya ketika ditemui selepas merasmikan majlis penutup Seminar Pencegahan Jenayah Polis dan Belia: Katakan "Ya", di Ibu Pejabat Polis Kontijen Selangor.

Mengulas penahanan reman ahli perniagaan itu semalam, Khalid berkata lelaki tersebut dipercayai terbabit dengan percubaan merasuah pegawai polis dan kes penipuan pembantu rumah, di Ipoh, Perak.

Laporan media hari ini yang memetik sumber, antara lain menyebut polis menyiasat dakwaan lelaki itu bahawa dia boleh 'menyelesaikan' siasatan kes NFC.

Isu mengenai NFC berbangkit ekoran Laporan Ketua Audit Negara 2010 Oktober lepas, yang menyatakan NFC gagal memenuhi matlamat penubuhannya manakala pembangkang pula mendakwa berlaku penyelewengan dalam pengurusan dana, khususnya berkaitan pembelian kondominium mewah di ibu negara. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan