Mustapa Mohamed Yakin Melayu Sedar Kesilapan PAS

Diterbitkan: Jumaat, 23 Disember 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PASIR PUTEH: Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata beliau yakin semakin ramai orang Melayu menyedari kesilapan Pas yang tersasar daripada perjuangan untuk menubuhkan negara Islam tetapi mengubah kepada konsep "negara berkebajikan".

Mustapa, yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, berkata kritikan pemimpin Pas sendiri mengenai pendirian yang berubah itu menyerlahkan hakikat bahawa parti yang kononnya berteraskan Islam itu telah tersasar perjuangan mereka dan tunduk kepada DAP.

"Jika dahulu parti itu mendakwa Umno sengaja mereka-reka cerita berkenaan tetapi kini kritikan itu datang daripada pemimpin Pas sendiri yang membuktikan senario itu (lari daripada perjuangan asal) memang benar berlaku," katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan pemimpin dan anggota Umno Bahagian Pasir Puteh di sini hari ini.

Isu Pas telah tersasar perjuangan itu ditimbulkan bekas Pesuruhjaya Pas Selangor Datuk Dr Hasan Ali, yang mahu Pas kembali kepada perjuangan asal iaitu menubuhkan sebuah negara Islam.

Mustapa berkata Umno Kelantan akan menjelaskan kedudukan sebenar perkara berkenaan kepada rakyat Kelantan agar mereka dapat menilai apa sebenarnya perjuangan Pas.

"Kita akan sampai mesej ini kepada orang Melayu dan mahu mereka melihat siapa kini yang mengkritik Pas yang dahulunya Umno sering dikaitkan dengan pelbagai tohmahan seperti itu," katanya.

Mustapa berkata beliau gembira dengan sikap anggota Umno di seluruh negeri yang begitu bersemangat menggerakkan jentera parti menjelang pilihan raya umum ke-13 nanti.

"Bukan anggota Umno sendiri tetapi rakan kita daripada MCA, MIC, Gerakan dan PPP juga bersama kita dan bersemangat bagi memastikan Barisan Nasional menang di Kelantan," katanya.

Mengenai calon, Mustapa berkata beliau telah bertemu dengan hampir kesemua ketua bahagian di Kelantan bagi membolehkan nama-nama calon yang sesuai diserahkan kepada ibu pejabat parti tidak lama lagi. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan