Bukan Hasan Ali Sahaja Lihat Perjuangan PAS Tergelincir

Diterbitkan: Jumaat, 23 Disember 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Perbalahan terbuka antara bekas Pesuruhjaya Pas Selangor Datuk Dr Hasan Ali dan beberapa pemimpin kanan parti itu khususnya mengenai dakwaan beliau bahawa Pas telah tergelincir daripada landasan perjuangannya, bukan satu isu kecil buat parti itu.

Ramai anggota Pas sebenarnya tidak menyukai dasar baru Pas untuk mewujudkan sebuah "negara berkebajikan" kerana ia menyimpang daripada perjuangan asalnya untuk menubuhkan sebuah negara Islam.

Suara Hasan dilihat bukan bersendirian, malahan mewakili sebahagian suara-suara penyokong akar umbi, yang melihat sejak kebelakangan ini parti itu lebih banyak tunduk kepada rakan-rakannya dalam pakatan pembangkang iaitu DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

"Saya mempunyai fakta dan bukti bahawa masyarakat yang selama ini menyokong Pas mula mempersoal dan bercadang menarik diri daripada memberi sokongan kepada Pas lantaran landasan utama perjuangan parti telah dikesampingkan," demikian kata-kata Hasan yang menimbulkan rasa tidak senang pihak atasan parti itu.

Umum tahu Pas sudah terlalu banyak bertolak ansur dengan DAP seperti dalam isu rampasan arak di Shah Alam, isu murtad, larangan hiburan di Kedah dan isu himpunan sejuta umat.

Selepas dua minggu kontroversi itu tercetus, ia boleh diibaratkan seperti kata pepatah "Kalau tidak ada angin masakan pokok bergoyang".

Anggota Parlimen Bebas kawasan Kulim-Bandar Baharu Datuk Zulkifli Noordin juga pernah meminta masyarakat menolak Dasar Negara Berkebajikan yang dibawa Pas kerana parti itu tidak konsisten dalam perjuangannya.

Beliau berkata Pas pada tahun tahun 2003 pernah mengemukakan Dokumen Negara Islam bagi menentang konsep Islam Hadhari yang diperkenalkan oleh bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi.

"Namun kini dokumen pada 2003 itu ditolak oleh Pas sendiri dan menggantikan dengan dasar baru, dengan Pas sendiri yang menolak, membuang dan "mentongsampahkan" Dokumen Negara Islam dan perjuangan negara Islam dengan alasan negara Islam tidak disebut di dalam al-Quran," katanya.

Zulkifli berkata rekayasa kitab baru yang dilabel sebagai Dokumen Negara Kebajikan ialah hanya untuk mengatasi Konsep Islam Wasathiyah yang menjadi teras Gagasan 1Malaysia "Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan" yang diilhamkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib tun Razak.

Beliau berkata persoalannya ialah sekiranya Pas boleh membuat pusingan mendadak 360 darjah membuang 'Dokumen Negara Islam' atas alasan tidak ada dalam al-Quran dan menggantikannya dengan 'Dokumen Negara Kebajikan', apakah yang akan menghalang mereka nanti untuk membuang 'Dokumen Negara Kebajikan' dan menggantikannya dengan yang lain.

Zulkifli berkata pendirian Pas itu juga berubah apabila mereka bersekongkol dengan DAP.

Pakar sejarah Prof Datuk Dr Ramlah Adam berkata pendirian Pas sekarang sudah berbeza apabila mereka membuat pakatan dengan DAP dan juga PKR pasca pilihan raya umum 2008.

Beliau berkata Pas pernah membuat pakatan dengan DAP pada pilihan raya 1999 menggunakan nama Barisan Alternatif, dan Angkatan Perpaduan Ummah pada 1990 dengan Parti Semangat 46, tetapi dasar parti masih tetap tidak berubah.

"Kenyataan yang dibuat oleh Dr Hasan bahawa ulama tidak lagi ramai di dalam parti itu hanya mengesahkan tanggapan umum sebelum ini dan juga maklumat dari dalam parti.

"Lihat pada pemilihan parti pada Muktamar Pas Jun lepas, kita boleh tengok bahawa bukan lagi ulama yang menguasai kepimpinan parti," katanya kepada Bernama.

Ramlah berkata DAP dan PKR adalah lebih kuat dari Pas untuk menentukan hala tuju pakatan pembangkang.

"DAP dan Pas adalah dua parti lama yang wujud di tanah air tetapi Pas lemah untuk mengawal keadaan sekarang. Saya lihat mereka adalah parti ketiga yang dirujuk dalam pakatan pembangkang itu," katanya.

Mengenai hala tuju Hasan sama ada beliau perlu meninggalkan Pas atau tidak, Ramlah berkata sukar untuk Hasan yang merupakan Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Gombak Setia, untuk keluar parti.

"DAP mungkin akan berunding supaya Dr Hasan tidak keluar parti kerana ia hanya akan menjejaskan pakatan pembangkang untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang," katanya.

Pensyarah Kanan Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Abdul Ghapa Harun berkata adalah perkara biasa apabila anggota dan pemimpin dalam satu-satu parti politik mempunyai perbezaan pandangan.

"Kalaupun perbezaan pandangan berlaku, di dalam parti yang mengamalkan demokrasi ia perlu diuruskan dengan baik oleh pucuk pimpinan supaya ia tidak mencetuskan masalah kepada parti," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata dalam konteks isu yang dibangkitkan oleh Hasan, ia berkaitan dengan orientasi parti yang mana parti melaksanakan perubahan yang bukannya terletak pada tangan pemimpin tertentu tetapi sudah dibawa ke muktamar agung untuk dibahaskan.

"Ini boleh dikatakan keputusan parti jadi mana-mana anggota yang tidak senang dengan keputusan (perubahan dasar) mereka berhak untuk bersuara. Tapi dalam konteks parti, jemaah, kadangkala yang tak bersetuju, harus akur," katanya.

Ditanya sama ada kemelut itu akan menjejaskan sokongan kepada Pas, Abdul Ghapa berpendapat sokongan kepada parti itu tidak akan berubah kerana sokongan kepada Hasan dilihat tidak begitu menonjol.

"Ini adalah kerana dasar parti itu sudah diperdebatkan secara berpanjangan dan bukannya keputusan yang diadakan dalam masa singkat," katanya. - BERNAMA

iklan

Video

Rabu, 22 November 2017 7:00 PM

"Saya Sedih, Kecewa Dengan Nabil" - Chef Wan

Selasa, 21 November 2017 5:42 PM

Apa Terjadi Dengan Wartawan mStar?

Selasa, 21 November 2017 2:13 PM

Selepas Setahun Amira Othman 'Tidur'

Selasa, 21 November 2017 9:00 AM

Kenali Siapa Penyanyi Lagu 'Bismillah'

Isnin, 20 November 2017 7:37 PM

Pakatan Dalam Misteri - Tun M

Isnin, 20 November 2017 2:30 PM

Karier Tak Rosak - Fezrul khan

Isnin, 20 November 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nabila Razali Simpan Foto Aedy Ashraf?

Ahad, 19 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Cikgu Meera - Oh Sayangku

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Kolumnis

iklan

Iklan