Tiada Niat Sertai Umno:Nasharudin

Diterbitkan: Khamis, 22 Disember 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Bekas Timbalan Presiden PAS, Nasharudin Mat Isa yang mendapat kecaman hebat daripada beberapa pemimpin parti itu berhubung kesetiaannya terhadap PAS menegaskan beliau tidak mempunyai niat sebesar zarah sekalipun unntuk menyertai Umno.

Menurut beliau, dakwaan kononnya dia terperangkap dalam agenda Umno terlalu jauh menyimpang daripada kebenaran dan tidak berasas.

"Saya tegaskan di sini bahawa saya adalah ahli PAS dan perjuangan saya kekal bersama parti untuk menjunjung risalah Islam, menyumbang kepada ummah dalam apa jua keadaan," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Rabu.

Nasharudin berkata, sepanjang bersama PAS beliau tidak pernah mengeluarkan ungkapan akan menyertai Umno.

"Janganlah gunakan alasan mudah seperti ini untuk menyimpulkan tindakan, pandangan atau perhitungan politik saya pada ketika kita mengharung gelombang percaturan politik yang jauh lebih mencabar," katanya.

Beliau tampil bagi menjelaskan beberapa dakwaan, tuduhan dan tohmahan yang dilemparkan oleh beberapa pihak terhadapnya menerusi media massa, blog dan laman sosial seperti Facebook dan Twitter sejak kebelakangan ini.

Dakwaan beliau terperangkap dalam agenda Umno dilemparkan oleh Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali, susulan kenyataan Nasharudin dan Exco Kerajaan Selangor, Datuk Dr Hasan Ali mengenai kedudukan mereka dalam parti.

Polemik itu timbul apabila Ketua Penerangan PAS Selangor, Shaari Sungip mendakwa Hasan akan digugurkan sebagai calon di kerusi Gombak Setia pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU) akan datang kerana tidak mendapat pencalonan mencukupi daripada cawangan.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan