Najib Abdikan Diri Lakukan Yang Terbaik Untuk Rakyat

Diterbitkan: Khamis, 22 Disember 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak berkata beliau telah mengabdikan diri bagi melakukan yang terbaik untuk rakyat semenjak dua tahun setengah memegang jawatan Perdana Menteri.

"Tidak kiralah apa yang telah diperkatakan oleh sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab mengenai saya, keluarga saya, atau pentadbiran saya, namun apa yang pasti saya telah berusaha untuk memastikan bahawa setiap keputusan yang saya ambil sebagai Perdana Menteri adalah yang terbaik mungkin.

"Saya terus berpegang teguh pada sumpah yang telah saya lafazkan pada April 2009 lalu. Saya percaya bahawa sumpah yang telah saya angkat itu, telah mempengaruhi saya bukan sahaja sebagai Perdana Menteri, tetapi juga sebagai Pengerusi Barisan Nasional (BN), Presiden Umno, dan yang paling penting, sebagai seorang insan yang begitu bangga menjadi rakyat Malaysia," katanya dalam entri terbaru blognya di www.1malaysia.com.my.

Najib berkata banyak kemajuan dan pencapaian sepanjang dua setengah tahun ini termasuk Program-program Transformasi dan dasar-dasar yang mensasarkan keuntungan jangka pendek dan panjang untuk negara ini.

"Kita ada beberapa lagi cara untuk meneruskan perjalanan ini dan, seperti perjalanan-perjalanan yang lain, ia bukanlah tanpa cabaran dan dugaan. Saya banyak berfikir mengenainya semasa sambutan Maal Hijrah baru-baru ini," katanya.

"Cabaran yang lebih besar mungkin akan kita hadapi apabila kita semakin hampir dengan matlamat kita. Oleh itu, saya amat berharap agar kita dapat mempersiapkan diri kita untuk menghadapinya," katanya.

Beliau risau sekiranya gagal separuh jalan sebelum dapat mencapai matlamat, disebabkan oleh kelemahan ahli pasukan dalam barisan, ketidakcekapan, sikap acuh tak acuh, atau sikap meletakkan kepentingan diri lebih daripada kepentingan yang lebih besar.

"Saya tidak mahu melihat pengorbanan dan usaha keras sebegitu ramai orang menjadi sia-sia hanya kerana perbuatan segelintir yang tidak bertimbang rasa. Saya juga tidak mahu melihat penudingan jari di antara satu sama lain dengan pelbagai tuduhan melulu dan tidak berasas.

"Saya rasa apabila tuduh-menuduh berlaku, kita kerap terlupa akan tujuan kolektif kita dan mudah percaya kepada fitnah yang remeh-temeh. Dan kerapkali apabila keadaan ini berlaku, masyarakat yang rugi," katanya.

Najib berkata rakyat perlu melihat ke dalam diri mereka sendiri dan tanya diri mereka sama ada mereka mempunyai keinginan dan jati diri untuk membuat pengorbanan yang perlu demi kebaikan.

Malah, dalam Islam, amalan muhasabah atau mengevaluasi diri sendiri amat digalakkan antara umat Islam, kata Perdana Menteri.

"Semua agama lain menggalakkan penganut setia mereka untuk melaksanakan penilaian diri secara jujur dari semasa ke semasa. Dengan kesedaran diri inilah saya berharap datangnya keupayaan kita untuk membuat keputusan yang terbaik dan tepat bukan hanya untuk diri kita sendiri, tetapi untuk masa hadapan Malaysia," katanya.

Najib berkata manusia berhadapan dengan bermacam-macam pilihan setiap hari di mana mereka mesti membuat keputusan untuk yang terbaik dan tepat dan "ada keputusan yang kita buat dalam sekelip mata, tanpa berfikir panjang.

"Sebagai contoh, laluan mana yang harus kita ambil untuk ke pejabat, atau baju apa yang kita nak dipakai.

"Kemudian ada pula keputusan yang besar yang kita harus ambil, seperti memilih universiti yang terbaik untuk anak-anak kita, atau membeli kereta yang baru untuk keluarga," katanya.

"Keputusan-keputusan sebegini mengambil lebih banyak masa dan pertimbangan dilakukan dengan lebih berhati-hati kerana ianya memberi kesan bukan sahaja kepada kita, tetapi yang lebih penting, kepada orang lain di sekeliling kita. Dalam saat-saat kritikal sebegitu, saya harap ramai daripada kita akan bersedia untuk membuat pengorbanan demi kebaikan," katanya.

Najib berkata keputusan mengenai sekolah dan kereta nampak remeh jika dibandingkan dengan keputusan mereka yang mempertahankan negara, keadilan dan kebebasan dengan mempertaruhkan nyawa mereka sendiri.

"Inilah insan-insan yang membuat pengorbanan yang paling besar sekali; komitmen mereka terhadap perjuangan mulia dinilaikan lebih daripada nyawa mereka sendiri.

"Saya kerap mengingatkan diri saya mengenai pengorbanan mereka ini sewaktu saya berkhidmat sebagai Menteri Pertahanan," katanya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan