Nahas Bas:Kerajaan Sabah Ucap Takziah Kepada Brunei

Diterbitkan: Khamis, 22 Disember 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah pada Rabu merakamkan ucapan takziah kepada kerajaan Brunei khususnya kepada keluarga dan waris semua mangsa yang terbabit dalam nahas bas ekspres di negeri itu semalam.

"Kita berasa amat sedih dan bersimpati dengan tragedi ini. Saya berharap mereka bersabar dan tabah menghadapi keadaan ini. Juga didoakan mangsa yang cedera dan masih menerima rawatan akan segera pulih.

"Sama-sama kita berdoa untuk mereka yang terkorban dalam tragedi ini. Semoga roh mereka dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama para solihin," kata Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman dalam kenyataan di sini.

Dalam kemalangan pada 3.05 petang semalam, bas yang membawa pelancong Brunei dari Tawau ke Kota Kinabalu dipercayai hilang kawalan dan terbalik di selekoh tajam sebelum melanggar sebatang pokok besar di Kilometer 8.9 Jalan Ranau-Tamparuli dekat Kampung Koporingan di Tuaran.

Tujuh rakyat Brunei berumur antara 50 dan 66 tahun terbunuh. Musa berkata kerajaan negeri sedia menghulurkan bantuan kepada mangsa terlibat.

Beliau juga berkata jabatan dan agensi kerajaan akan menjalankan siasatan terperinci bagi mengenal pasti punca kejadian.

Musa turut mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada jabatan dan agensi berkaitan serta semua pihak yang telah menghulurkan bantuan dalam semua aspek ketika kemalangan itu berlaku. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan