Senator Pembangkang Gagal Sekat Rang Undang-Undang Perhimpunan Awam 2011

Diterbitkan: Rabu, 21 Disember 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Anggota Dewan Negara yang mewakili pihak pembangkang pada Selasa, gagal menyekat Rang Undang-undang Perhimpunan Aman 2011 apabila rang undang-undang itu diluluskan menerusi undi belah bahagian.

Undian itu yang diminta sendiri oleh pihak pembangkang menyaksikan 39 anggota Dewan Negara menyokong manakala hanya lapan yang tidak bersetuju rang undang-undang itu dibacakan untuk kali kedua.

Undian belah bahagian dibuat selepas Senator Saiful Izham Ramli mengemukakan usul itu kepada Yang DiPertua Dewan Negara Tan Sri Abu Zahar Nika Ujang, yang kemudiannya membenarkan undian itu selepas berpuas hati usul itu memenuhi syarat Peraturan Mesyuarat yang memerlukan persetujuan lapan anggota Dewan Negara.

Terdahulu, ketika membentangkan rang undang-undang itu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong berkata ia bertujuan membenarkan warganegara menganjurkan dan menyertai perhimpunan secara aman dan tanpa senjata dengan sekatan-sekatan yang difikirkan perlu dan demi kepentingan, ketenteraman dan keselamatan awam.

"Sesungguhnya penggubalan Rang Undang-Undang Perhimpunan Aman 2011 merupakan suatu langkah ke arah memperkukuhkan kedaulatan undang-undang dan memartabatkan kebebasan asasi di Malaysia khususnya hak untuk berhimpun secara aman dan tanpa senjata.

"Ia dilihat akan dapat membantu mencapai matlamat untuk pelaksanaan dan pentadbiran sistem perundangan yang lebih adil di samping memelihara kebebasan asasi individu sebagaimana yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan," katanya.

Pada 29 November lepas, Dewan Rakyat meluluskan rang undang-undang itu dengan enam pindaan dibuat membabitkan Fasal 9(1) untuk meminda tempoh yang ditetapkan kepada penganjur untuk memberikan notis mengadakan perhimpunan kepada polis dari 30 kepada 10 hari.

Selain itu, Fasal 12(1) rang undang-undang itu turut dipinda bagi memendekkan tempoh untuk polis memaklumkan kepada pihak berkepentingan berhubung perhimpunan berkenaan dari 48 jam kepada 24 jam.

Turut dipinda adalah membabitkan Fasal 12(2) bagi tempoh untuk pihak berkepentingan membuat bantahan kepada polis ke atas notis perhimpunan berkenaan pula dipendekkan dari lima hari kepada 24 jam.

Tempoh untuk polis memberikan respons ke atas bantahan berkenaan juga dipendekkan dari 12 hari kepada lima hari seperti yang dinyatakan pada pindaan ke atas Fasal 14.

Pindaan terhadap Fasal 15, membolehkan polis mengenakan sekatan ke atas pelbagai aspek perhimpunan termasuk masa dan tempat demi keselamatan atau ketenteraman awam bagi melindungi hak dan kebebasan orang lain.

Pindaan ke atas Fasal 16 pula memendekkan tempoh rayuan yang dikenakan ke atas penganjur perhimpunan untuk membuat rayuan kepada menteri.

Terdahulu, ketika menggulung perbahasan rang undang-undang berkenaan, Liew menempelak Senator Syed Husin Ali yang mengatakan kononnya ada peniaga yang mengaut keuntungan perhimpunan Bersih pada 7 Julai lepas.

"Ini adalah tidak benar kerana saya sendiri telah menerima aduan daripada pekedai di Jalan TAR dan pihak Sogo di mana saya telah dimaklumkan bahawa itu adalah tempat jadi tumpuan perhimpunan atau tunjuk perasaan sejak tahun 1999.

"Dan pihak Sogo serta pekedai-pekdai di situ telah pun rugi dengan jutaan ringgit dan kehilangan keuntungan. Jadi siapa yang bertanggungjawab di atas kerugian yang dialami mereka. Itulah persoalan yang selalu ditanya oleh peniaga yang terpaksa tutup kedai jika berlaku demonstrasi di sekitar Kuala Lumpur ini," katanya.

Selain itu, Liew turut menegaskan bahawa rang undang-undang itu memberi nafas baru kepada Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan dengan memasukkan elemen-elemen pelaksanaan berkaitan pelaksanaan perhimpunan secara aman.

"Keselamatan negara atau persekutuan adalah pertimbangan utama dalam perkara ini dan kerajaan tidak ada kompromi dalam keselamatan negara dengan apa-apa saja kerana ini melibatkan keselamatan semua warga di negara ini," katanya. - BERNAMA

iklan

Video

Isnin, 11 Disember 2017 9:00 AM

#BiziBody : De Fam Kantoi Gambar Selfie

Ahad, 10 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Aziz Harun - Jangan

Jumaat, 8 Disember 2017 10:55 PM

Abam Bocey Malu Manja Dengan Isteri Depan Kamera

Jumaat, 8 Disember 2017 8:15 PM

Malaysia Tak Diam Diri, Terus Bela Nasib Palestin

Jumaat, 8 Disember 2017 2:02 PM

Zarul Husin Takut Tua

Jumaat, 8 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Awi Rafael - Kau Di Hatiku

Khamis, 7 Disember 2017 8:00 PM

Nadzmi Adhwa Dikurung Selepas Kantoi Dadah

Rabu, 6 Disember 2017 2:00 PM

"Makin Ramai Nak Taja Saya" - Wany Hasrita

Kolumnis

iklan

Iklan