Peruntukan Kerajaan Pusat Untuk Selangor Lebih Besar - Berita Semasa | mStar

Peruntukan Kerajaan Pusat Untuk Selangor Lebih Besar

Diterbitkan: Selasa, 20 Disember 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Peruntukan yang disalur kerajaan pusat untuk membangunkan Selangor lebih besar berbanding jumlah yang diperuntuk kerajaan negeri itu sendiri, kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar pada Isnin.

Beliau memberi contoh peruntukan tahun ini yang mana kerajaan pusat menyalurkan RM2.7 bilion untuk negeri itu.

Di bawah Rancangan Malaysia ke-10, sebanyak RM2.62 bilion disalurkan kerajaan pusat untuk melaksanakan 628 projek di negeri itu, dan sebanyak RM83.81 juta lagi disalurkan menerusi pelbagai agensi dan kementerian, katanya kepada pemberita, di sini.

Beliau yang ditemui selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Selangor, berkata selain itu, sebanyak RM16.95 juta disalurkan untuk 11 projek yang diminta pemimpin tempatan ketika lawatan Perdana Menteri Datuk seri Najib Tun Razak dan Timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Kerajaan Selangor sebelum ini membentangkan belanjawan berjumlah RM1.43 bilion, yang mana RM830 juta diperuntukkan untuk belanja mengurus dan baki RM600 juta bagi pembangunan negeri untuk tahun ini.

Pada majlis itu, Noh turut menyampaikan surat pelantikan kontraktor untuk fasa kedua membina dan menaik taraf perhentian bas di seluruh Selangor, merangkumi 67 projek bernilai RM9.1 juta. - BERNAMA

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan