Kerajaan Negeri Selangor Naikkan Insentif Kutipan Cukai Ke RM200,000

Diterbitkan: Selasa, 20 Disember 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim pada Isnin berkata kerajaan negeri akan menaikkan insentif kutipan cukai untuk pihak berkuasa tempatan (PBT) 2011 daripada RM100,000 setahun kepada RM200,000.

Bagaimanapun, beliau berkata dengan peningkatan insentif ini penilaian prestasi kutipan cukai mereka akan dibuat setiap enam bulan dan mereka yang berjaya memenuhi kriteria ditetapkan akan mendapat insentif RM100,000 bagi setiap setengah tahun.

Abdul Khalid berkata dengan membuat penilaian setiap enam bulan kerajaan negeri akan mendapat perangkaan terkini mengenai kutipan hasil dan tidak perlu menunggu sehingga hujung tahun bagi mengira jumlah kutipan dan tunggakan cukai.

Selain itu, penilaian akan dibuat berdasarkan peratusan kutipan cukai dan jumlah cukai yang dikutip bagi setiap enam bulan berbanding dengan hanya menggunakan peratusan kutipan cukai pada tahun-tahun sebelumnya, katanya pada sidang media selepas perhimpunan bulanan dan sambutan Hari Inovasi Pentadbiran Negeri Selangor 2011.

Bagi tahun 2010 empat PBT masing-masing mendapat insentif RM100,000 iaitu Pejabat Daerah/Tanah Sepang, Klang, Gombak dan Kuala Selangor.

Mengenai isu laluan kabel Tenaga Nasional Bhd (TNB) di Kampung Sungai Terentang Rawang yang ditentang penduduk kampung sehingga menyebabkan projek itu tergendala, Abdul Khalid berkata pada Khamis ini, beliau akan diadakan perbincangan antara TNB dan jururunding dilantik kerajaan negeri mengenai hasil kajian jurunding kerajaan negeri berhubung pelaksanaan projek itu.

"Kalau Yang Berhormat Timbalan Menteri (Kewangan Datuk Donald Lim Siang Chai) ingin hadir dalam MTES (Majlis Tindakan Ekonomi Selangor) ini dia akan berjumpa dengan Tenaga (TNB), perunding dan wakil-wakil daripada kumpulan yang berkenaan untuk kita membuat keputusan mengenai perkara ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Lim yang meminta Kerajaan Selangor segera menyelesaikan isu antara penduduk Kampung Sungai Terentang di Rawang dengan TNB mengenai pemasangan talian kabel elektrik di kampung berkenaan.

Minggu lepas, Lim yang juga Pengerusi MCA Selangor berkata beliau akan berjumpa Abdul Khalid minggu ini bagi mendapatkan penjelasan lanjut isu yang sudah lama 'tergantung' berikutan urusan berkaitan tanah terletak di bawah kuasa kerajaan negeri.

TNB mahu memasang talian kabel elektrik di Kampung Sungai Terentang di bawah Projek Pengukuhan Sistem Kawasan Tengah bernilai RM400 juta namun dibantah penduduk di situ yang khuatir akan terdedah kepada pengaliran elektrik melalui kabel voltan tinggi dan risiko dijangkiti kanser dan leukimia. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan