Bangunan Bersejarah Di Sepanjang Sungai Perlu Dijaga

Diterbitkan: Selasa, 20 Disember 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Pemilik bangunan bersejarah di sepanjang Sungai Klang dan Sungai Gombak yang terlibat dalam projek "River of Life" diminta bekerjasama dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk mencantikkan premis berkenaan.

"Mereka tidak rugi kerana nilai bangunan yang menghadap sungai akan meningkat dua kali ganda. Mungkin insentif akan diberikan untuk mereka sama-sama mengindahkan bangunan," kata Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin kepada pemberita semasa melawat tapak projek berkenaan berdekatan Masjid Jamek di sini Selasa.

Beliau disertai Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Douglas Uggah Embas dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Idris Jala.

Raja Nong Chik berharap keadaan bangunan di sepanjang sungai berkenaan akan selari dengan projek mencantikkan sungai yang sedang dilaksanakan memandangkan nilai warisan sesuatu bangunan adalah sebahagian daripada produk pelancongan yang perlu dilindungi.

Katanya projek "River of Life" berjalan mengikut jadual dalam usaha kerajaan mewujudkan keadaan lebih selesa kepada warga kota dan juga sebagai tarikan pelancongan.

"Apabila siap kelak, penduduk sekitar akan mempunyai lebih banyak tempat sesuai untuk beriadah di dalam bandar, dan dengan adanya laluan pejalan sepanjang sungai, mereka tidak perlu lagi ke luar bandar untuk beriadah," katanya.

River of Life adalah sebuah Projek Permulaan yang dikenal pasti dalam Bidang Ekonomi Utama Greater Kuala Lumpur di bawah Program Transformasi Kerajaan.

Ia bertujuan mengubah wajah sungai yang mengalir di tengah bandar raya Kuala Lumpur melalui pelaksanaan kerja memulihkan sungai, mencantikkan tebing sungai serta pembangunan koridor sungai. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan