Astro Lancar Satelit TV Percuma Pertama Malaysia

Diterbitkan: Selasa, 20 Disember 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Astro melancarkan televisyen satelit percuma pertama Malaysia, NJOI, sebagai sebahagian daripada aspirasi untuk menyediakan pembelajaran sepanjang hayat, maklumat, hiburan, termasuk sukan, secara percuma untuk rakyat Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Rohana Rozhan berkata Astro akan memperkenal NJOI menerusi tiga fasa.

Beliau berkata menerusi fasa pertama, Astro akan mengagihkan 50,000 dekoder dan piring satelit NJOI kepada peserta program eKasih.

"Fasa kedua pula membabitkan usaha menjadikan perkhidmatan NJOI disediakan kepada semua, menjelang suku pertama 2012, dengan pelanggan boleh membeli dekoder dan piring, memasangnya dan mula menikmati perkhidmatan berkenaan.

"Menerusi fasa ketiga pula, pelanggan NJOI boleh memilih sama ada membeli kandungan tambahan mereka sendiri, daripada menu produk dan perkhidmatan menerusi mekanisma prabayar, yang akan disediakan menjelang pertengahan 2012," katanya pada pelancaran NJOI di sini hari ini oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Turut hadir ialah Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin, Timbalan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Joseph Salang Gandum dan Pengerusi Astro Datuk Badri Masri.

Rohana berkata pelanggan NJOI boleh menonton 37 perkhidmatan TV dan radio seperti Astro Tutor, Astro Vanavil, Astro Prima, Astro Oasis, Astro Awani, Bernama TV, Astro AEC, Jia Yu, Makkal TV, iView, iMus, TVi, TV1 dan TV2.

Beliau juga berkata Astro merancang menawarkan perkhidmatan atau pilihan perkhidmatannya menerusi peranti pintar dalam kalangan pelanggan sedia adanya.

"Perkhidmatan ini akan disediakan pada suku kedua tahun depan," katanya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan