Kementerian Pelancongan Tidak Tetapkan Harga Sewa Hotel Penginapan

Diterbitkan: Isnin, 19 Disember 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Menteri Pelancongan Datuk Seri Dr Ng Yen Yen berkata penetapan harga sewa bilik hotel penginapan di negara ini ditentukan melalui mekanisme permintaan dan penawaran sebagaimana yang digunakan oleh negara-negara lain.

Beliau berkata, penetapan harga itu juga turut mengambil kira masa puncak dan bukan masa puncak selaras dengan kriteria penarafan bintang bagi premis penginapan pelancong yang telah ditetapkan oleh kementerian berkenaan.

"Kementerian tidak bercadang untuk menetapkan dua jenis harga bagi rakyat tempatan dan pelancong asing. Terpulang kepada pengusaha hotel dan industri hotel untuk menawarkan harga bilik yang paling kompetitif mengikut strategi pemasaran masing-masing," katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2012 bagi kementeriannya pada persidangan Dewan Negara pada Isnin.

Sementara itu, Dr Ng berkata, kemasukan pelancong dari Singapura pada tahun 2010 adalah sebanyak 13 juta dengan nisbah setiap seorang pelancong dari negara itu akan berkunjung ke Malaysia sebanyak tiga hingga empat kali.

Beliau berkata, jumlah itu adalah seperti yang telah direkodkan oleh Jabatan Imigresen Malaysia dan telah disahkan oleh Pertubuhan Pelancongan Dunia Bangsa-bangsa Bersatu (UNWTO).

"Jumlah penduduk Singapura adalah empat juta orang tapi kita boleh menerima 13 juta pelancong Singapura pada tahun 2010. Ini tidak memeranjatkan kerana mereka adalah pelancong berulang," katanya.

Menurut beliau, bilangan pelancong Singapura yang tinggi itu memang dijangkakan khususnya pada musim cuti persekolahan dan perayaan di Malaysia kerana negara ini sentiasa menawarkan pelbagai tempat pelancongan yang menarik seperti alam semula jadi, makanan serta kawasan membeli belah yang menarik.

"Kita menjangkakan dengan perasmian Johor Premium Outlets (JPO), angka ini akan bertambah. Mereka (pelancong dari Singapura) juga suka memandu kerana Malaysia mempunyai rangkaian lebuh raya yang menarik dan harga petrol yang rendah," katanya. - BERNAMA

iklan

Video

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Selasa, 12 Disember 2017 5:41 PM

Jom Lepak Tempat 'Best' Tapi Percuma

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Isnin, 11 Disember 2017 9:00 AM

#BiziBody : De Fam Kantoi Gambar Selfie

Ahad, 10 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Aziz Harun - Jangan

Jumaat, 8 Disember 2017 8:15 PM

Malaysia Tak Diam Diri, Terus Bela Nasib Palestin

Jumaat, 8 Disember 2017 2:02 PM

Zarul Husin Takut Tua

Kolumnis

iklan

Iklan