Pengerusi GWGF Tidak Bantah, Mahu Penjelasan Penyenaraian FGVH

Diterbitkan: Ahad, 18 Disember 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PONTIAN: Pengerusi Gabungan Wawasan Generasi Felda (GWGF) Tan Sri Rozali Ismail tidak menentang langkah penyenaraian Felda Global Ventures Holding (FGVH) di Bursa Malaysia, tetapi sekadar mahukan penjelasan mengenainya, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Ahmad Maslan. "Saya sudah bercakap dengan Tan Sri Rozali dan beliau tidak cakap dia menentang penyenaraian (FGVH). Tan Sri Rozali hanya minta penjelasan," katanya kepada pemberita Sabtu.

Ahmad sebelum itu menghadiri majlis penyerahan bantuan oleh RISDA bagi tanaman semula kelapa sawit dan getah kepada pekebun-pekebun kecil di Parlimen Pontian di Parit Haji Sapran, di sini.

Menurut Timbalan Menteri itu yang bertanggungjawab terhadap Felda, walaupun pihaknya telah melakukan beberapa sesi penjelasan tentang langkah penyenaraian FGVH, tetapi mengakui kemungkinan ia tidak lengkap dan memerlukan penambahbaikan.

"Kita akan melengkapkan penjelasan, terutamanya kepada pihak-pihak yang mempunyai pandangan berbeza," katanya.

Ahmad berkata, penyenaraian FGVH merupakan matlamat keempat di dalam pelan transformasi Felda selepas matlamat pertama: hutan ke ladang; kedua: dari hutan ke perkampungan teratur dan ketiga: perniagaan dalam negara ke global.

Ahmad menjelaskan bahawa penyenaraian FGVH tidak akan melibatkan tanah-tanah yang dimiliki oleh peneroka, tetapi usaha itu akan mendatangkan kebaikan kepada 240,000 ahli Koperasi Permodalan Felda (KPF).

Katanya, peneroka Felda juga akan menerima durian runtuh hasil daripada penyenaraian itu, di samping menjadikan FGVH sebagai sebuah entiti perladangan yang terbesar di dunia.

Penyenaraian FGVH kata beliau, telah "menakutkan" parti-parti pembangkang yang sentiasa menentang apa saja usaha kebaikan yang dilaksanakan oleh kerajaan terhadap rakyat. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan