Strategi DAP Letak Calon Melayu Dianggap Hanya Gimik

Diterbitkan: Jumaat, 16 Disember 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Ura-ura DAP akan meletakkan calon Melayu di kawasan majoriti Melayu pada pilihan raya umum nanti adalah satu gimik politik semata-mata sedangkan umum tahu parti itu secara terang memperjuangkan kepentingan kaum Cina, demikian menurut penganalisis.

Prof Dr Ahmad Atory Hussain daripada Universiti Sains Malaysia (USM) berkata adalah mustahil untuk DAP bebas daripada imejnya sebagai parti yang mewakili satu kaum kepada parti berbilang kaum.

"Pada pandangan saya, keputusan untuk meletakkan calon Melayu itu bukanlah muktamad, ia cuma jangkaan. Pemimpin DAP dan Pas sengaja buat kenyataan itu sebagai gimik," katanya kepada Bernama pada Jumaat.

Ahmad Atory, pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan USM, berkata DAP tidak akan mampu meraih sokongan undi daripada kaumnya sendiri sekiranya meletakkan calon Melayu bertanding di kawasan majoriti Cina dan sebaliknya.

"Politik di negara kita ini, kita diajar untuk mengundi kaum dan bukannya parti. Kalau kawasan 50-50 peratus Cina dan Melayu, maka peluang untuk menang dengan letak calon Melayu atau Cina di kawasan itu cerahlah sedikit, tapi kalau majoritinya Melayu atau Cina, memang susah nak menang kalau calon itu lain bangsanya," katanya.

Setiausaha Agung Pas Datuk Mustafa Ali baru-baru ini dilaporkan berkata bahawa parti itu tidak menghalang jika DAP meletakkan sesiapa sahaja calon termasuk Melayu tetapi perkara itu tidak pernah dibincangkan di peringkat pakatan pembangkang.

Desas-desus mengatakan DAP mahu meletakkan calon Melayu bertanding di kerusi majoriti Melayu bertiup kencang kebelakangan ini malah Anggota Majlis Tertinggi Umno yang juga Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam memberi peringatan kepada Umno dan Barisan Nasional supaya berwaspada dengan strategi terbaru DAP itu.

Seorang lagi Anggota Majlis Tertinggi Umno DAtuk Dr Awang Adek Hussin, yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, berkata beliau lebih suka jika DAP meletak calon Melayu bertanding di Kelantan.

"Ini kerana kita dapat uji orang Melayu ini sama ada mereka boleh menerima DAP atau BN pada pilihan raya umum akan datang.

"DAP memang bercita-cita nak perintah negara, jadi saya fikir elok DAP bertanding di Kelantan dan bagi peluang untuk orang Melayu menilai sama ada mereka mahukan DAP atau BN," katanya.

Timbalan Pengerusi DAP Dr Tan Seng Giaw pula berkata parti itu bersama rakan pakatannya, Pas dan PKR, sentiasa bermuafakat dalam menentukan soal calon yang bertanding pada setiap pilihan raya.

"Kita setuju untuk tentukan calon siapa yang paling sesuai bertanding di satu-satu kawasan. Soal bangsa tidak wujud. Lepas berpakat, kita akan pilih calon yang sesuai," katanya.

Ditanya kebenaran DAP sedang merangka strategi untuk meletakkan calon Melayu di kawasan majoriti Melayu bertanding pada pilihan raya akan datang, Tan yang juga Anggota Parlimen Kepong, berkata beliau tidak tahu menahu mengenainya.

"Sama ada calon itu Melayu, Cina atau India, kalau dia yang terbaik, kita akan pilih dia," katanya.

Bagaimanapun, bukanlah perkara baru bagi DAP meletakkan calon Melayu dalam pilihan raya kerana pada pilihan raya umum pertama yang disertainya pada tahun 1969, DAP menampilkan calon Melayu bagi satu kerusi Parlimen dan sembilan lagi bagi kerusi Dewan Undangan Negeri iaitu di Johor, Negeri Sembilan, Selangor dan Perak.

Menurut kenyataan pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang pada 25 Mei, pada pilihan raya umum itu dua calonnya terpilih sebagai anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) iaitu Ibrahim Singgeh bagi Tapah Road di Perak dan Haji Hassan Ahmad bagi kerusi Si Rusa di Negeri Sembilan.

Sejak 1969, enam calon Melayu DAP memenangi pilihan raya iaitu lima sebagai ADUN dan seorang Anggota Parlimen.

Ada pihak mempersoalkan apakah perlunya DAP meletakkan calon Melayu sedangkan dua rakan pakatannya iaitu Pas dan PKR juga sudah sarat dengan calon Melayu.

Beberapa pemerhati politik berpendapat, yang jelas ialah DAP tidak begitu yakin dengan calon Melayu daripada Pas atau PKR. Keduanya, mereka berpendapat bahawa DAP mungkin terpaksa menampilkan calon-calon Melayu untuk kemudiannya ditonjolkan sebagai tokoh utama parti pembangkang bagi menggantikan pemimpin PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Penganalisis politik, Che Hamdan Mohamed Razali, daripada Universiti Teknologi Mara (UiTM) berpendapat tindakan DAP meletakkan calon Melayu dalam pilihan raya umum akan datang bukan sahaja bertujuan memecahkan undi orang orang Melayu tetapi juga untuk merealisasikan impian parti itu berkuasa di sesebuah negeri.

"DAP ini saya lihat dia mengambil iktibar di Perak di mana dia mempunyai kerusi majoriti berbanding Pas dan PKR. Namun Undang-undang Tubuh Negeri yang mengatakan bahawa Menteri Besar mestilah di kalangan orang Melayu, maka wakil Pas dipilih menjadi Menteri Besar. Itu adalah halangan terbesar DAP.

"Jadi strategi terbaru ini akan membolehkan DAP menguasai negeri sekiranya parti itu mendapat majoriti. Walaupun hakikatnya Menteri Besar itu orang Melayu tetapi terkongkong di bawah telunjuk DAP," katanya.

Che Hamdan, pensyarah sains politik UiTM Kampus Dungun, berkata untuk strategi itu, DAP kini amat memerlukan pemimpin Melayu yang berpengaruh untuk mendapatkan sokongan pengundi Melayu liberal.

iklan

Video

Jumaat, 24 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Harry - Abang Lori Tenonenonet

Khamis, 23 November 2017 11:18 PM

Fazura Sah Tunangan Fattah Amin

Khamis, 23 November 2017 7:36 PM

Alahai KTM! Bila Isu Tren Tergelincir Nak Selesai?

Khamis, 23 November 2017 4:00 PM

Tatang Bagai Puteri, Tapi Ini Jadinya - Harris Baba

Khamis, 23 November 2017 3:45 PM

Tak Perlu 'FB Live' Anak Berjaya UPSR - Prof Muhaya

Khamis, 23 November 2017 2:32 PM

Bayar 'Ciput', Lepak Sampai Puas

Khamis, 23 November 2017 9:00 AM

Lagu Tak Layak, Ayda Jebat Sekadar Nak Tahu Punca

Rabu, 22 November 2017 7:00 PM

"Saya Sedih, Kecewa Dengan Nabil" - Chef Wan

Selasa, 21 November 2017 9:00 AM

Kenali Siapa Penyanyi Lagu 'Bismillah'

Kolumnis

iklan

Iklan