RM20j Bantu Tujuh COE Berpotensi

Diterbitkan: Jumaat, 16 Disember 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Tujuh Pusat Kecemerlangan (CoE) Berpotensi dikenal pasti daripada 297 CoE di pusat-pusat pengajian tinggi di seluruh negara, yang akan mendapat dana RM20 juta bagi membantu ia mencapai tahap Pusat Kecemerlangan Pengajian Tinggi (HICoE) pada masa akan datang.

Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, ia melibatkan 10 universiti, dan insentif sebanyak RM2 juta akan diberikan bagi sebuah universiti sekali sahaja, sebagai tanda sokongan kementerian untuk melonjakkan keupayaan dan pencapaian CoE berpotensi dalam bidang tujahan masing-masing dengan mulanya di platform nasional.

"Di samping itu, ketujuh-tujuh CoE berpotensi itu juga akan dipandu arah dan dipantau pelan tindakan program penyelidikannya oleh kementerian melalui satu Jawatankuasa Sepakaran bagi memastikan keberhasilan yang disasarkan selain mampu memperoleh pengiktirafan penuh sebagai HICoE pada masa akan datang.

"Saya juga berharap agar CoE Berpotensi yang diumumkan pada hari ini akan mula mengorak langkah proaktif untuk turut bekerjasama dengan institusi-institusi penyelidikan tempatan yang lain serta menjalin kerjasama dengan pihak industri terutamanya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan syarikat berkepentingan kerajaan (GLC) agar penemuan atau produk penyelidikan yang dihasilkan dapat dipasarkan dengan lebih cepat melalui perkongsian pintar yang terjalin," katanya pada majlis pelancaran CoE Berpotensi 2011 di sini, Jumaat.

Mohamed Khaled berkata, lima CoE sedia ada yang berpotensi untuk diupayakan termasuk Institut Oseanografi dan Sekitaran (INOS) Universiti Malaysia Terengganu (UMT) yang berkepakaran tinggi dalam bidang sains marin, Photonics Research Centre (PRC) Universiti Malaya (UM) yang memfokus kepada bidang sistem optik dan Centre for Research in Nanotechnology and Catalysis (NANOCEN) UM yang memberi tumpuan kepada bidang katalisis.

Beliau berkata, dua lagi CoE sedia ada adalah Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (LESTARI) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang merupakan sebuah institusi penyelidikan multi-disiplin iaitu memberi tumpuan kepada mengimbangi isu pembangunan dan alam sekitar serta Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) UKM yang diberi peranan sebagai titik fokus untuk mewujudkan hubungan dengan institusi luar negara seperti Jabatan-jabatan Pengajian Melayu dalam usaha untuk menentukan strategi bagi memantapkan pengajian Bahasa Melayu.

Sementara itu, bagi memperkukuhkan tahap dan mutu penyelidikan berasaskan teknikal, Centre of Excellence for Malaysian Technical University Network (CoE MTUN) akan dibangunkan dengan kerjasama empat buah universiti teknikal awam di negara ini iaitu Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Universiti Teknikal Melaka (UTeM), Universiti Malaysia Pahang (UMP) dan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), dan akan memfokuskan pembangunan kekuatan kepakaran dalam bidang Kejuruteraan Termaju dan Sains Gunaan, katanya.

Mohamed Khaled berkata, sebuah lagi CoE iaitu Pusat Kecemerlangan Perkhidmatan dan Penyelidikan Neurosains (PKPPN) di Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM) Kubang Kerian, Kelantan, akan dibangunkan memandangkan bidang neurosains merupakan bidang kritikal yang sedang diberi tumpuan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), International Brain Research Organisation (IBRO) dan Society for Neuroscience (USA) yang mengiktiraf dekad 2010 hingga 2020 sebagai dekad minda.

"Pada masa ini, USM Kampus Kesihatan ini telah mengorak langkah dengan melakukan beberapa pembaharuan dalam bidang neurosains, antaranya pembedahan menggunakan peralatan berkomputer yang canggih dan pembedahan otak yang dijalankan secara sedar, penggunaan peralatan untuk memberi diagnosis bagi pesakit-pesakit sawan menggunakan neuroinformatik, melakukan rawatan lumpuh saraf tunjang menggunakan kaedah sel tunjang serta mencari ubat-ubatan baru bagi mengurangkan sakit sawan dan memulihkan daya ingatan.

"Dengan bantuan ini ia diharap dapat memberikan perkhidmatan bertaraf dunia dalam bidang rawatan angin ahmar, kanser otak, kecederaan otak akibat kemalangan dan lain-lain penyakit berkaitan otak kepada orang ramai," katanya.

Dalam sidang berita selepas itu, Mohamed Khaled berkata enam CoE yang dinaiktaraf sebagai HICoE pada tahun lalu telahpun menunjukkan impak positif di mana 90 modal insan di peringkat tinggi seperti doktor falsafah (PhD) dan penyelidik utama telah dihasilkan, selain 146 penerbitan berimpak tinggi, 56 peluasan jaringan dan kerjasama serta 17 inovasi telah dihasilkan. - BERNAMA

iklan

Video

Ahad, 19 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Cikgu Meera - Oh Sayangku

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Jumaat, 17 November 2017 2:00 PM

Pesawat Dedah Punca Menyepi

Jumaat, 17 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Hyper Act - Kasih

Khamis, 16 November 2017 2:00 PM

“Kalaulah Diberi Watak Utama...” - Riz Amin

Khamis, 16 November 2017 9:05 AM

Tak Tipu! Rawang Bypass Memang Gayat

Khamis, 16 November 2017 9:00 AM

Sufi Tak Mampu Tolak Haqiem Rusli

Rabu, 15 November 2017 9:00 AM

Bakat Mafarikha Tersia-sia Enam Tahun

Selasa, 14 November 2017 2:00 PM

Nasi Kandar 3 Jam!

Kolumnis

iklan

Iklan