Puteri Umno Kubang Pasu Mahu Calon Miliki Sikap Terbuka

Diterbitkan: Jumaat, 16 Disember 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

JITRA: Pergerakan Puteri Umno Kubang Pasu mahu calon-calon Barisan Nasional (BN) khususnya yang mewakili Umno bersikap terbuka terhadap pucuk pimpinan selain memiliki ciri-ciri dinamik bagi memacu negara.

Ketuanya Wan Zawiyah Wan Halim berkata pelan transformasi ekonomi (ETP) pelbagai bidang yang dibawa Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak dapat direalisasikan oleh pemimpin yang peka dengan cita-cita rakyat.

Sikap terbuka ini, katanya, mencakupi pengetahuan dalam bidang ekonomi, pendidikan, sosio-budaya, agama, politik, kreatif, berinovasi, dedikasi di samping memiliki sifat merendah diri dan diterima masyarakat umum.

"Pemimpin yang tiada ciri-ciri ini seharusnya mengundur diri agar tidak menjadi beban kepada parti menjelang pilihan raya umum ke-13 akan datang.

"Ini adalah sebahagian ciri calon boleh menang yang dimaksudkan Najib selaku Presiden Umno ketika menyampaikan ucapan dasar pada Perhimpunan Agung Umno di Kuala Lumpur baru-baru ini," katanya kepada pemberita pada program Putri Prihatin di 'Nat' Pekan Asun dekat sini, Jumaat.

Wan Zawiyah, yang juga Exco Pergerakan Puteri Umno Malaysia, berkata pendekatan Perdana Menteri melalui ETP membuka ruang seluasnya kepada rakyat untuk meraih peluang ekonomi yang diwujudkan.

Mengenai program Putri Prihatin, beliau berkata pihaknya dengan kerjasama Pejabat Kesihatan Kubang Pasu menyediakan khidmat pemeriksaan kesihatan termasuk darah tinggi, gula dan berat badan serta memberikan ubat untuk penyakit ringan.

Katanya Puteri Umno Malaysia menyediakan dua van bergerak bagi menjayakan program itu bermula pukul 9 pagi hingga 12 tengah hari agar orang ramai tanpa mengira latar belakang mudah mendapatkan pemeriksaaan kesihatan percuma.

Beliau berkata program yang sama akan dilaksanakan di daerah-daerah lain di kawasan yang menjadi tumpuan orang ramai pada cuti mingguan. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan