Terpulang Kepada Khazanah Tentukan Pembeli: Tun Mahathir

Diterbitkan: Khamis, 15 Disember 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada Khamis berkata terpulanglah kepada Khazanah Nasional Holdings Bhd untuk membuat keputusan siapakah pembeli paling sesuai bagi kepentingan besar dalam syarikat pembuat kereta Proton Holdings Bhd.

Beliau mengulas laporan yang peserta automotif yang lain seperti Naza Group dan Sime Darby turut berminat untuk mengambilalih 42.7 peratus kepentingan Khazanah dalam Proton.

Sebelum ini, dilaporkan yang Khazanah, cabang pelaburan kerajaan, akan menjual kepentingannya kepada DRB-Hicom, satu langkah yang nampaknya mendapat restu daripada Dr Mahathir.

Ia merupakan bida terbuka dan Khazanah akan menilai manakah yang terbaik untuk masa depan Proton, kata beliau kepada pemberita selepas melancarkan Tunnelling Training Academy MMC-Gamuda di Kota Kemuning di sini Khamis.

Dr Mahathir berkata: "Apa yang penting ialah Proton harus menunjukkan prestasi baik selepas ini dan keupayaan mereka yang boleh meningkatkan Proton harus diambilkira."

Ditanya sekira terdapatnya pembida seberang laut yang berminat untuk membeli kepentingan dalam Proton, beliau berkata Proton ialah projek kereta nasional dan beliau tidak memikirkan Khazanah seharusnya menjual kepentingan besar itu kepada pembida seberang laut.

Dr Mahathir juga berkata yang Proton masih memerlukan status kereta nasional kerana ia akan memberikan beberapa kelebihan dari segi sokongan kerajaan.

Malah, Airbus dan Boeing mempunyai sokongan kerajaan kerana mereka disifatkan sebagai projek-projek nasional dan sebarang keuntungan yang dibuat oleh mana-mana satu antara mereka mesti diakrukan kepada kerajaan masing-masing.

"Untuk menyatakan yang kerajaan tidak seharusnya menyokong industri tempatan atau industri milik tempatan amat mengarut," kata beliau.

Malah Hyundai, ketika ia memulakan kereta pertamanya, mendapat sokongan daripada bekas Presiden Korea Selatan, Park Chung Hee, kata beliau sambil menambah yang Malaysia tidak melakukan sesuatu yang orang lain tidak lakukan.

Mengenai input pengeluar kereta asing bagi menambahbaik Proton, Dr Mahathir berkata Proton mesti meneliti opsyen dan boleh mendapatkan kepakaran dan kemahiran asing, bukan hanya dari satu syarikat sahaja.

Beliau berkata banyak syarikat berminat untuk menyediakan teknologi dan kepakaran mereka tetapi terma mereka mungkin boleh berbeza dari syarikat ke satu syarikat yang lain. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan