Jumlah Penghidap Penyakit Tidak Berjangkit Meningkat, Membimbangkan:Liow

Diterbitkan: Khamis, 15 Disember 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) Kementerian Kesihatan pada tahun ini menunjukkan jumlah rakyat negara ini yang menghidap penyakit tidak berjangkit (NCD) seperti diabetes, obesiti, tekanan darah tinggi dan kesihatan mental meningkat dan berada pada tahap membimbangkan.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata 20.8 peratus daripada golongan berusia 30 tahun ke atas di negara ini dikesan menghidap diabetes berbanding 14.9 peratus pada 2006, manakala penghidap obesiti meningkat kepada 15.1 peratus pada tahun ini berbanding 14 peratus pada 2006.

"Selain itu, 32.7 peratus rakyat negara ini menghidap tekanan darah tinggi pada tahun ini berbanding 32.2 peratus pada 2006. Isu kesihatan mental di kalangan kanak-kanak berusia 5 hingga 9 tahun meningkat kepada 19.1 peratus tahun ini berbanding 12.3 peratus pada 1996 dan di kalangan remaja 15 hingga 16 tahun meningkat kepada 22.2 peratus daripada 13.4 peratus untuk tempoh sama," katanya pada majlis memperkenalkan duta sihat 1Malaysia di sini Khamis.

Liow berkata bagi corak pengambilan makanan, kajian itu mendapati hanya 7.5 peratus rakyat Malaysia mengambil sayur-syuran dan buah-buahan sebanyak lima hidangan sehari seperti yang disyorkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), namun terdapat peningkatan terhadap aktiviti fizikal daripada 56.3 peratus pada 2006 kepada 64.8 peratus tahun ini.

Beliau berkata kajian sama pada 2006 mendapati 21.5 peratus orang dewasa dan 18.2 peratus remaja berusia 13 hingga 15 tahun di negara ini merokok, dan terdedah kepada penyakit serius yang membawa maut seperti serangan jantung, kanser, penyakit paru-paru dan serangan strok.

Liow berkata kementerian akan memperluaskan gerakan Communication for Behavioural Impact (COMBI) yang sebelum ini difokuskan kepada pencegahan denggi, kepada amalan hidup sihat bagi membendung penyakit berkenaan.

Beliau berkata buku Garis Panduan COMBI - Amalan Cara Hidup Sihat Bagi Pencegahan Penyakit Tidak Berjangkit sedang dihasilkan dan akan dikeluarkan awal tahun depan manakala latihan kepada anggota kesihatan dan komuniti akan bermula seawal Mac tahun depan.

"Kerajaan telah menubuhkan satu Jawatankuasa Kabinet bagi melihat kaedah atau cara dalam pendekatan kerajaan menangani NCD dan pada masa sama menggerakkan lebih banyak lokaliti, penyertaan peringkat akar umbi bagi memperkasakan mereka dengan kemahiran dan pengetahuan mengenai NCD kerana kita tidak boleh hanya bergantung kepada doktor dan jururawat bagi menangani penyakit ini," katanya.

Dalam perkembangan lain, Liow berkata kes denggi di negara ini pada tahun ini sehingga Sabtu lalu menurun 58 peratus bagi jumlah kes dan 74 peratus bagi kematian berbanding tempoh sama tahun lalu, iaitu sebanyak 18,731 kes dengan 34 kematian berbanding 44,641 kes dengan 132 kematian.

Bagaimanapun, katanya sejak sembilan minggu lepas terdapat trend peningkatan semula jumlah kes iaitu termasuk pada minggu lepas (4 hingga 10 Dis) dengan 486 kes denggi dilaporkan, dan lokaliti wabak iaitu daripada 52 lokaliti pada 8 Okt lalu kepada 84 lokaliti minggu lepas.

"Antara sebabnya memang musim hujan di mana ia menggalakkan pembiakan nyamuk Aedes. Virus denggi ini boleh hidup dalam enam generasi nyamuk Aedes. Jadi kalau seseorang itu menghidap denggi kena kawal elok-elok sebab kalau dia digigit nyamuk, nyamuk itu akan dapat virus tersebut dan ini akan diturunkan kepada enam generasi. Jadi, anda boleh bayangkan betapa dahsyatnya keadaan itu," katanya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan