Depoh Bekalan Keperluan Bencana Sentiasa Bersedia - Shahrizat

Diterbitkan: Khamis, 15 Disember 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUANTAN: Lima buah depoh bekalan keperluan bencana di lima wilayah sentiasa bersedia dan lengkap supaya bekalan itu sampai kepada mangsa banjir tepat pada masanya, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil. Beliau berkata, depoh utama berkenaan yang terletak di Sungai Buloh, Selangor, Sungai Petani, Kedah, Batu Pahat, Johor, Kuala Terengganu, Terengganu dan Kota Bharu, Kelantan itu boleh menampung keperluan 1.4 juta mangsa di seluruh negara.

"Depoh-depoh berkenaan telah dilengkapi dengan bekalan dan keperluan untuk mangsa sekiranya berlaku banjir besar dan ia sentiasa bersedia untuk beroperasi terutamanya pada masa ini di mana dijangkakan banjir akan berlaku lagi minggu hadapan berdasarkan ramalan cuaca," katanya kepada pemberita selepas melawat beberapa rumah yang dilanda banjir di Kampung Kurnia di sini, Khamis.

Beliau berkata, kelima-lima depoh berkenaan berperanan menyimpan stok bekalan makanan dan keperluan harian secara berpusat, sebelum diagihkan ke pangkalan hadapan dan pusat pemindahan dalam masa yang singkat.

Katanya, berdasarkan pengalaman lampau berhadapan dengan situasi banjir, berlakunya kesulitan dalam proses penghantaran bekalan makanan dan keperluan lain kepada mangsa kerana terputus hubungan dan kegagalan perancangan awal.

"Dari pengalaman dulu, bila banjir besar berlaku kita susah nak hantar makanan dan sebagainya, tapi kali ini sebaik saja kita mengetahui cuaca buruk akan melanda, kita siap sedia lebih awal dalam menghantar bekalan berkenaan di depoh dan pangkalan hadapan," katanya.

Menurutnya, memandangkan depoh hanya berfungsi sebagai penempatan barangan kering, makanan dalam tin dan keperluan asas, kerajaan melantik sejumlah 1,150 pembekal di seluruh negara bagi membekalkan makanan segar seperti sayur dan lauk kepada mangsa banjir.

Sementara itu, beliau berkata, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan turun padang membantu penduduk membersihkan kediaman masing-masing selepas banjir surut.

"Kerajaan sentiasa prihatin dengan keadaan penduduk semasa dan selepas banjir di mana JKM dan sukarelawan Skuad Sayang akan bantu cuci rumah penduduk yang terjejas akibat banjir," katanya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan