Ajaran Sesat Atau Tidak Ditentukan Majlis Fatwa

Diterbitkan: Khamis, 15 Disember 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata Majlis Fatwa Kebangsaan berhak menentukan sama ada sesuatu ajaran atau fahaman yang dibawa oleh kumpulan tertentu sebagai sesat atau menyeleweng.

Bagaimanapun, beliau berkata penentuan mengenai perkara itu perlu melalui proses penelitian yang dilaksanakan di peringkat jawatankuasa fatwa negeri-negeri sebelum dibawa kepada muzakarah fatwa kebangsaan.

"Oleh kerana menghubungkaitkan ajaran dan pegangan menjadi sesat bukan perkara enteng dan dianggap akademik biasa tetapi memerlukan penelitian agama mendalam, kerajaan menggunakan mekanisme paling tinggi iaitu menggunakan keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan," katanya pada persidangan Dewan Negara pada Khamis ketika menjawab soalan Dr Johari Mat yang ingin tahu siapa bertanggungjawab menentukan sesuatu ajaran itu sesat atau menyeleweng.

Jamil Khir berkata Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) merupakan urusetia berperanan memaklumkan perkara berkenaan melalui majlis agama negeri-negeri selepas ianya diwartakan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan.

Selepas diwartakan, Majlis Agama Islam Negeri akan mewartakan di bawah undang-undang syariah negeri dan selepas itu undang-undang berkenaan akan dikuatkuasakan.

Jamil Khir berkata kerajaan secara berterusan menangani pelbagai jenis gejala ajaran atau fahaman menyeleweng serta masalah sosial yang menular dalam masyarakat seperti seks bebas, pelacuran dan seumpamanya menerusi penguatkuasaan undang-undang serta pendidikan pencegahan.

Beliau berkata dari aspek penguatkuasaan, undang-undang memperuntukkan secara jelas dalam Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997, dan boleh dikuatkuasakan kepada orang Islam sahaja.

Katanya pihak-pihak berkuasa agama negeri harus mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka yang melanggar peruntukan undang-undang di negeri masing-masing.

Daripada aspek pencegahan, beliau berkata, kerajaan melakukan pemantauan dan kajian terhadap apa jua program yang dibuat oleh organisasi atau individu tertentu yang mempunyai unsur-unsur penyelewengan agama serta memantau laman-laman web dan blog yang menyebarkan fahaman sesat.

"Tiada peruntukan undang-undang atau mana-mana agama di negara ini yang membenarkan hubungan sejenis, seks bebas dan perkahwinan sejenis," kata Jamil Khir. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan