15 Mahasiswa Ditahan, KPT Tunggu Laporan Polis

Diterbitkan: Khamis, 15 Disember 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

GEORGE TOWN: Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) akan mendapatkan laporan daripada polis berhubung penahanan 15 penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) yang mengadakan piket membantah Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 di KL Sentral semalam sebelum mengambil sebarang tindakan.

Ketua Pengarah Pengajian Tinggi Prof Datuk Dr Rujhan Mustafa berkata memandangkan piket itu diadakan di luar kawasan kampus, perkara itu disiasat oleh polis.

"Mereka berdemonstrasi di luar kampus, jadi kita serahkan kepada pihak polis kerana mungkin mereka berkumpul tanpa kebenaran," katanya ketika ditemui pemberita pada majlis penutupan Forum Pendidikan Tinggi Global di sini Khamis.

Beliau berkata pelajar yang tidak berpuashati dengan akta berkenaan tidak perlu mengadakan perhimpunan atau demonstrasi kerana kerajaan telah menubuhkan Jawatankuasa Pindaan AUKU bagi mengkaji cadangan pindaan kepada Seksyen 15 akta itu.

"Apa yang diminta oleh pelajar sedang diusahakan. Mereka tidak sepatutnya berdemonstrasi," katanya.

Seksyen 15 AUKU 1971 menyebut pelajar atau pertubuhan, badan atau kumpulan pelajar dilarang bersekutu dengan persatuan kecuali sebagaimana diperuntukkan di bawah Perlembagaan atau diluluskan oleh Naib Canselor.

Kesemua 15 penuntut daripada beberapa universiti itu yang disiasat mengikut Seksyen 27 Akta Polis 1967 dibebaskan dengan jaminan polis pada 10 malam tadi selepas polis selesai mengambil keterangan mereka. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan