RM1 Juta Bantu Pesakit Kronik Kurang Berkemampuan

Diterbitkan: Rabu, 14 Disember 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Lembaga Zakat Selangor (LZS) hari ini menyampaikan bantuan zakat sebanyak RM1 juta kepada Tabung Pesakit Kronik dan Kecemasan sepuluh buah hospital kerajaan di Selangor dan Kuala Lumpur.

Ketua Pegawai Eksekutif LZS Mohamed Izam Mohamed Yusof berharap bantuan itu dapat membantu meringankan kos rawatan pesakit kronik kurang berkemampuan yang berasal dari Selangor, serta membantu pembelian peralatan perubatan yang diperlukan.

Beliau berkata demikian pada majlis penyampaian wang zakat itu kepada Pengarah Kesihatan Selangor Datuk Dr Azman Abu Bakar di Hospital Selayang di sini Rabu.

Hospital terbabit terdiri daripada Hospital Selayang, Hospital Serdang, Hospital Tunku Ampuan Rahimah Klang, Hospital Sungai Buloh, Hospital Ampang, Hospital Kuala Lumpur, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia, Institut Jantung Negara, Hospital Kajang dan Pusat Perubatan Universiti Malaya, dan setiap hospital menerima RM100,000.

Dr Azman berkata bantuan zakat kepada pesakit yang tidak berkemampuan ini membantu Jabatan Kesihatan Negeri Selangor ke arah memberi perkhidmatan dan rawatan yang lebih holistik dan komprehensif.

"Dengan bantuan ini, ia membantu melancarkan perkhidmatan dari semua aspek fizikal, psikologi, spiritual dan sosial pesakit. Keprihatinan pihak LZS ini sedikit sebanyak akan mengurangkan kerisauan kos perubatan pesakit," katanya.

Beliau berkata wang zakat itu akan dikendalikan oleh Jabatan Kerja Sosial Perubatan untuk disalurkan kepada pesakit kronik kurang berkemampuan, serta menambah peralatan hospital yang diperlukan. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan