PR1MA: PM Mahu Pemaju Hartanah Tidak Kaut Keuntungan Semata-Mata

Diterbitkan: Rabu, 14 Disember 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SEREMBAN: Datuk Seri Najib Tun Razak mahu pemaju hartanah yang mahu membina rumah mampu milik di bawah Program Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) agar mengamalkan model perniagaan sosial yang tidak bertujuan mengaut keuntungan semata-mata.

Sebaliknya, Perdana Menteri mahu pemaju mengambil kira kepentingan rakyat dengan menawarkan rumah mampu milik yang berkualiti pada harga yang rendah terutama kepada pembeli yang berpendapatan rendah dan sederhana.

"Saya beritahu kepada badan-badan korporat, sudah dapat keuntungan carilah keuntungan dari bidang yang lain, tapi dalam projek rumah mampu milik yang berkualiti ini janganlah ambil untung dan janganlah pula kita rugi," katanya.

Berucap pada perasmian majlis pecah tanah Projek Rumah Mampu Milik Sime Darby di Bandar Ainsdale, Labu, dekat sini Selasa, Najib berkata kerajaan juga sedang mengenal pasti bentuk bantuan yang dapat disalurkan kepada pemaju agar mereka dapat menyediakan lebih banyak rumah-rumah mampu milik di bawah program PR1MA ini.

Katanya, ini termasuk menyediakan dana pemudahan seperti kemudahan kos prasarana yang mana dapat membantu pemaju mengurangkan harga rumah yang ditawarkan.

"Dengan cara seperti ini, kita mahu banyakkan lagi rumah-rumah seperti ini dan kita mahu beri peluang kepada rakyat untuk memiliki rumah-rumah ini," katanya.

Najib berkata, projek PR1MA yang memfokuskan kepada golongan pertengahan atau mereka yang berpendapatan sederhana untuk memiliki rumah, merupakan agenda yang diperkenalkan kerajaan bagi membantu rakyat terutama di kawasan bandar.

Katanya, walaupun golongan ini dianggap tidak miskin dan mempunyai pendapatan yang cukup untuk menyara hidup, namun mereka masih memerlukan pembelaan kerajaan bagi menikmati taraf hidup yang lebih baik.

"Selain kerajaan memperkenalkan projek-projek untuk pembangunan masyarakat miskin luar bandar, namun kerajaan juga tidak lupa kepada golongan pertengahan ini yang berpendapatan sederhana.

"Mereka ini yang bukan miskin dan bukan mewah hanya makan gaji, ada pendapatan untuk menyara keluarga. Golongan ini yang semakin hari semakin besar jumlahnya perlu kita bantu," katanya.

Mengenai Perbadanan PR1MA yang ditubuhkan kerajaan bagi memantau projek PR1MA, Najib berkata ia bukanlah hanya bertanggungjawab memantau penyediaan rumah mampu milik sahaja, sebaliknya merangkumi penyediaan kediaman yang mempunyai ciri-ciri bernilai sosial.

Katanya, perbadanan itu berperanan memastikan kawasan perumahan mampu milik dilengkapi dengan pelbagai kemudahan seperti taman didikan kanak-kanak (tadika), surau, Klinik 1Malaysia, Kedai 1Malaysia dan kemudahan riadah bagi mengelak berlakunya apa yang dikatakan kawasan bandar yang sesak dan kotor di kawasan perumahan PR1MA.

"Sebab itu saya sudah katakan pada PR1MA supaya memastikan bukan hanya rumah berkualiti dibina, tapi suasananya juga selesa dan berkualiti supaya penghuni-penghuni di kawasan perumahan PR1MA ini mengecapi satu corak hidup yang lebih baik lagi," katanya.

Dalam ucapannya, Najib turut menggesa Sime Darby agar mempercepatkan pembinaan projek perumahan tersebut dan berharap dapat membina lebih banyak unit rumah mampu milik ini pada masa akan datang bagi memenuhi permintaan rakyat.

Sime Darby Bhd merupakan syarikat korporat pertama yang bekerjasama dengan PR1MA bagi menyediakan rumah-rumah mampu milik selepas pelancaran projek PR1MA, 4 Julai lalu.

Pengerusi Sime Darby Tun Musa Hitam berkata, syarikat itu menyasarkan untuk membina 21,120 unit rumah mampu milik di bawah projek itu di lapan lokasi, termasuk 2,200 unit di Bandar Ainsdale, Labu.

Katanya, projek pembinaan rumah itu di Bandar Ainsdale ini merupakan yang pertama, melibatkan beberapa fasa di mana fasa pertama akan membabitkan pembinaan 420 unit rumah di atas tanah seluas 61.6 hektar yang dijangka akan dimulakan pembinaannya awal tahun depan dan akan mengambil masa 16 bulan untuk disiapkan.

"Projek perumahan mampu milik yang dibangunkan oleh Sime Darby ini akan dilengkapi dengan mesra alam sekitar di mana pembinaannya akan menggunakan sistem pembinaan berindustri (IBS) yang memendekkan tempoh waktu pembinaan," katanya.

Rumah-rumah tersebut direka bentuk dengan tiga bilik dan dua bilik air dengan keluasan lantai yang selesa di antara 930 kaki persegi hingga 1,490 kaki persegi dan harga jualannya dianggarkan antara RM140,000 hingga RM250,000. -BERNAMA

iklan

Video

Ahad, 17 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: InTeam - Kasih Kekasih

Jumaat, 15 Disember 2017 2:27 PM

Biarlah Ia Berlalu" - Adi Putra

Jumaat, 15 Disember 2017 11:51 AM

Aksi 'Rempit' Fasha Sandha Jadi Perhatian

Jumaat, 15 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Pesawat - Luluh

Khamis, 14 Disember 2017 1:00 PM

Peminat Lega Tiada Suara 'Kepit' Sajat

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Kolumnis

iklan

Iklan