Mahathir Harap Syarikat Kaya Beli Kepentingan Proton

Diterbitkan: Rabu, 14 Disember 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Penasihat Proton Holdings Bhd, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata beliau mahu melihat syarikat yang mempunyai jumlah wang paling banyak membeli kepentingan yang mahu dijual oleh Khazanah Nasional Berhad.

"Pada masa ini, Proton tidak dapat membuat kemajuan, memperkenalkan kenderaan baharu dan sebagainya kerana kekurangan dana," katanya pada sidang media selepas merasmikan pelancaran Larian Sahara Dinas Emas di sini, Selasa.

Beliau berkata, Khazanah perlu membuat keputusan memandangkan saham berkenaan milik syarikat.

"Saya mendapat tahu (Khazanah) mahu menjual, namun belum membuat pengumuman. Ia mungkin baik, bergantung kepada siapa yang akan mengambil alih dan berapa banyak yang mereka bayar," katanya.

Kebimbangan Dr Mahathir ialah jika harga saham itu terlalu tinggi, pemulihan syarikat mungkin sukar.

"Seperti benda lain, jika kos modal sangat tinggi, agak sukar untuk membuat keuntungan," katanya.

Beliau juga mahu Proton diurus dengan baik dan menjadi syarikat yang berjaya dan turut menambah beliau tidak "membuat untung daripadanya."

Dr Mahatgir juga berkata pembeli kepentingan itu perlu membuat tawaran awam (GO) jika ia membeli lebih daripada 30 peratus kepentingan ekuiti.

"Saya difahamkan bahawa Khazanah memiliki 42 peratus untuk dijual, oleh itu sama ada DRB-Hicom atau sesiapa sahaja, pembeli perlu membuat GO untuk baki saham itu," katanya.

Ditanya mengenai GO Proton, Dr Mahathir berkata beliau "tidak setuju" dengannya dan menambah ia bukan kerana pembeli akan mengambil Proton tetapi kosnya akan menjadi sangat tinggi dan akan menyukarkan pemulihan syarikat.

"Pembeli perlu menyuntik lebih banyak wang dalam Proton, mungkin RM2 bilion lagi," katanya.

Oleh itu, syarikat yang membeli kepentingan mesti mempunyai kedudukan kewangan yang kukuh dan mengetahui cara untuk mengurusnya atau ia mungkin menyebabkan syarikat rugi dan menjejaskan Proton.

"Saya tidak mahu Proton terjejas, saya tidak peduli jika yang lain terjejas, tetapi bukan Proton," katanya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan