Badan Baru Perlu Ditubuhkan Untuk Transformasi Masyarakat Orang Asli

Diterbitkan: Rabu, 14 Disember 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Sebuah badan baru perlu ditubuhkan bagi mempercepatkan proses transformasi masyarakat Orang Asli menjelang 2020, dan bukannya dengan memansuhkan Jabatan Hal Ehwal Orang Asli, persidangan Dewan Negara diberitahu pada Selasa.

Senator Datuk Muhammad Olian Abdullah berkata badan baru itu nanti bertanggungjawab membantu dari segi peningkatan ekuiti pemilikan harta dan sebagainya supaya masyarakat Orang Asli tidak tercicir dalam usaha negara mencapai status negara berpendapatan tinggi.

"Saya tidak setuju ada sahabat (anggota Dewan Negara) saya yang telah membangkitkan isu supaya Jabatan Hal Ehwal Orang Asli ini ditutup.

"Bagi saya lebih baik JHEOA ini diperbaiki dan diubah suai fungsinya supaya ia benar-benar boleh membawa kemajuan kepada masyarakat Orang Asli," katanya ketika membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2012 di Dewan Rakyat di sini.

Semalam, Senator Dr S. Ramakrishnan ketika mencelah hujah Senator Datuk Abdul Rahman Bakar, menyatakan bahawa jabatan itu telah gagal menjalankan fungsinya dan mencadangkan agar ia dimansuhkan.

Beliau berkata sehingga kini terdapat 139,193 Orang Asli, dan masalah utama yang dihadapi ialah lebih 50 peratus daripada mereka berada dalam kemiskinan.

Sementara kebanyakan penempatan mereka terletak di kawasan pedalaman dan di pinggir bandar iaitu daripada 852 perkampungan Orang Asli, sebanyak 327 atau 31 peratus berada di pedalaman, 516 kampung atau 61 peratus terletak di pinggir bandar dan hanya enam kampung atau satu peratus berada di dalam bandar, katanya.

"Ini sudah menggambarkan kepada kita masyarakat Orang Asli masih berada di bawah taraf kemiskinan, dan pada masa yang sama saya tidak nafikan sudah banyak perubahan dan pembangunan yang diperolehi tetapi masih belum mencukupi," katanya.

Dalam pada itu, Muhammad Olian berkata perkara lain yang turut menghantui masyarakat Orang Asli di negara ini adalah masalah pendidikan di mana peratus keciciran masih tinggi di kalangan anak-anak Orang Asli dan ia perlu diberikan perhatian serius.

Ini adalah ekoran persediaan di sekolah rendah yang tidak mencukupi untuk mereka bersaing dengan pelajar-pelajar lain di sekolah menengah yang kebanyakannya berada di kawasan pinggir bandar dan bandar, katanya.

Justeru, beliau mencadangkan agar kerajaan menubuhkan asrama-asrama bagi menempatkan pelajar sekolah seperti yang dilakukan oleh Felda yang menempatkan anak-anak Felda di asrama-asrama khas yang dibina di kawasan pinggir bandar dan kawasan bandar.

"Memang ada sekarang ini kita bina sekolah atau tadika di perkampungan Orang Asli tapi masalahnya kawasan yang jauh di pedalaman tidak disediakan kemudahan dan guru yang dihantar tidak disediakan kemudahan yang mencukupi," katanya.

Selain itu, Mohammad Olian meminta kerjasama dari kementerian lain yang berkaitan dalam membantu menyediakan kemudahan yang mencukupi serta menyediakan kawasan persekitaran yang selesa bagi membolehkan anak-anak Orang Asli mendapat peluang pendidikan yang sama dengan mereka di kawasan pinggir bandar dan bandar.

Persidangan Dewan bersambung Rabu. -BERNAMA

iklan

Video

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Jumaat, 15 September 2017 2:00 PM

Cassidy Malu Cakap Melayu?

Jumaat, 15 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Payslip - Semangat Yang Hilang

Khamis, 14 September 2017 4:00 PM

Farida Jalal Mahu Lebih Kolaborasi Malaysia-Bollywood

Khamis, 14 September 2017 9:00 AM

Faye Kusairi Menangis Tonton Diri Sendiri

Kolumnis

iklan

Iklan