Rakyat Bangga Sultan Kedah Dilantik Agong Kali Kedua

Diterbitkan: Selasa, 13 Disember 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

ALOR SETAR: Rakyat Kedah amat bangga dan teruja dengan pelantikan Sultan Kedah Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah sebagai Yang di-Pertuan Agong buat kali kedua, setelah menamatkan pemerintahannya sebagai Yang di-Pertuan Agong kelima pada 1975.

Mereka menyifatkan pelantikan Sultan Abdul Halim, 84, sebagai Yang di-Pertuan Agong untuk kali kedua adalah satu sejarah yang sukar dicapai memandangkan ia perlu mengikut giliran dan masa yang panjang.

Sultan Abdul Halim buat pertama kali dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong pada 23 Julai 1970, dan ditabalkan pada 20 Feb 1971 untuk tempoh lima tahun yang berakhir pada 20 Sept 1975.

Bagi Wan Nasri Wan Abdul Rahman, 59, yang berkhidmat sebagai Orang Balai Besar di pejabat baginda berkata: "Sebagai rakyat Kedah dan bekerja di pejabat Tuanku sejak 1977, saya memang sangat bangga dan sukacita.

"Tidak dapat digambarkan dengan kata-kata perasaan ini dan saya yakin seluruh rakyat Kedah turut merasai perasaan yang sama. Sudah banyak acara yang dibuat untuk meraikan pelantikan Sultan Kedah sebagai Yang di-Pertuan Agong. Ini jelas menunjukkan kegembiraan rakyat terhadap pelantikan baginda," katanya kepada Bernama.

Bagi Marzuki Md Isa, 59, bekas jurugambar akhbar rasmi kerajaan negeri, Warta Darulaman, Sultan Abdul Halim merupakan seorang pemerintah yang cukup berdedikasi serta tegas dalam melaksanakan tanggungjawab sepanjang memerintah negeri ini.

"Baginda seorang Sultan yang lemah lembut, namun tegas dalam memastikan tugas seharian baginda dilaksanakan dengan baik," katanya kepada Bernama.

Beliau yang bersara pada tahun lepas, sebelum ini sering ditugaskan menghadiri majlis-majlis yang dihadiri baginda untuk mengambil gambar berkata baginda adalah juga seorang pemerintah yang sangat prihatin.

Kakitangan kerajaan negeri Jamaliah Harun, 43, berkata apabila Sultan Abdul Halim dilantik sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong pada Disember 2006, beliau memang menyimpan harapan semoga baginda dapat menerajui pemerintahan negara sebagai Yang di-Pertuan Agong.

"Masa tu saya betul-betul berharap agar baginda Sultan dapat menerajui semula negara buat kali kedua dan harapan saya kini tercapai," katanya dan menambah, tidak ada apa yang paling diharapkan selain mendoakan supaya baginda kekal sihat dan dapat mentadbir negara dengan baik.

Ahmad Tarmizi Ibrahim, 35, yang bekerja sendiri pula menganggap pelantikan Sultan Kedah sebagai Yang di-Pertuan Agong merupakan memori terindah buat seluruh rakyat negeri ini.

"Baginda merupakan Sultan yang berjiwa rakyat. Baginda sering berjumpa dengan rakyat terutamanya bila berlaku musibah kepada rakyat.

"Masih segar dalam ingatan semasa saya menjadi mangsa banjir besar pada November tahun lepas. Baginda tidak kekok untuk turun berjumpa rakyat yang tinggal bersesak di pusat pemindahan bagi melihat sendiri kesusahan rakyat yang ditimpa musibah," katanya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan