Kerajaan Belanja RM37.8 Juta Elaun Sara Hidup Nelayan Di Pulau Pinang

Diterbitkan: Selasa, 13 Disember 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

GEORGE TOWN: Kerajaan Persekutuan telah membayar elaun sara hidup sebanyak RM37.8 juta kepada 4,556 orang nelayan di Pulau Pinang sejak Jun 2008 hingga Dis 2011.

Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan negeri (LKIM), Raja Kahalid Raja Ariffin berkata para nelayan perlu mendaftarkan diri mereka kepada persatuan nelayan bagi melayakkan mereka menerima elaun tersebut.

"Mereka harus komited dengan tugas mereka sebagai nelayan. Pihak kami akan menarik balik elaun jika golongan ini didapati melakukan pekerjaan lain," katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis penyerahan elaun sara hidup di sini Selasa.

Beliau turut menasihati para nelayan agar sentiasa mengemas kini akaun bank bagi memudahkan bayaran dibuat selain memaklumkan kepada pihak LKIM jika mereka tidak dapat ke laut dalam tempoh yang lama. Para nelayan juga wajib menghadiri mesyuarat empat bulan sekali anjuran persatuan bagi memastikan mereka terus layak menerima elaun itu pada masa akan datang.

Sementara itu, beliau berkata bilangan penerima faedah subsidi minyak diesel dengan harga RM1.20 seliter dan petrol RM1.90 seliter di negeri itu sehingga Dis ini adalah seramai 2,480 orang.

Raja Kahalid berkata bagi dana pinjaman kebajikan nelayan kerajaan telah membelanjakan RM4.2 juta untuk 900 nelayan sejak dana itu diperkenalkan pada tahun 2005.

Bagaimanapun dari jumlah itu hanya RM754,000 atau empat peratus jumlah pinjaman yang dibayar oleh peminjam sehingga Dis ini.

"Daripada 900 orang peminjam, hanya 150 orang yang membayar balik pinjaman secara konsisten. Diharapkan lebih ramai yang membayar semula pinjaman mereka agar dana ini dapat diberikan kepada nelayan lain yang mengalami masalah kewangan," katanya.

Hari ini seramai 546 orang nelayan daripada Persatuan Nelayan Teluk Bahang menerima elaun sara hidup masing-masing.

Turut hadir merasmikan majlis adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Teluk Bahang, Datuk Seri Hilmi Yahya. - BERNAMA

iklan

Video

Ahad, 19 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Cikgu Meera - Oh Sayangku

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Jumaat, 17 November 2017 2:00 PM

Pesawat Dedah Punca Menyepi

Jumaat, 17 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Hyper Act - Kasih

Khamis, 16 November 2017 2:00 PM

“Kalaulah Diberi Watak Utama...” - Riz Amin

Khamis, 16 November 2017 9:05 AM

Tak Tipu! Rawang Bypass Memang Gayat

Khamis, 16 November 2017 9:00 AM

Sufi Tak Mampu Tolak Haqiem Rusli

Rabu, 15 November 2017 9:00 AM

Bakat Mafarikha Tersia-sia Enam Tahun

Selasa, 14 November 2017 2:00 PM

Nasi Kandar 3 Jam!

Kolumnis

iklan

Iklan