Anggota Jemaah Pemangku Sultan Diminta Laksana Tugas Dengan Jujur, Amanah - Berita Semasa | mStar

Anggota Jemaah Pemangku Sultan Diminta Laksana Tugas Dengan Jujur, Amanah

Diterbitkan: Selasa, 13 Disember 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

ALOR SETAR: Sultan Kedah Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah mengingatkan anggota Jemaah Pemangku Sultan negeri itu supaya menjalankan tugas dengan jujur dan dedikasi selepas baginda mula berkhidmat sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14 pada Selasa.

"Kepada Seri Paduka adinda-adinda dan Seri Paduka anakanda, jalankanlah amanah ini dengan jujur dan dedikasi kerana raja dan rakyat tidak boleh dipisahkan dan jadikan keutamaan dan kepentingan negeri dan rakyat sebagai tanggungjawab yang dipikul dengan adil dan saksama.

"Walaupun beta berada di tampuk pemerintahan persekutuan, namun kepentingan dan kesejahteraan rakyat dan negeri ini sentiasa berada dekat di hati sanubari beta," titah baginda pada Istiadat Pelantikan Jemaah Pemangku Sultan di Istana Anak Bukit di sini Isnin.

Anggota jemaah yang dilantik terdiri daripada adinda baginda Datuk Seri Tunku Annuar Sultan Badlishah, Tan Sri Tunku Sallehuddin Sultan Badlishah, Datuk Seri Tunku Abdul Hamid Thani Sultan Badlishah dan anakanda baginda, Datuk Seri Tunku Puteri Intan Safinaz Sultan Abdul Halim.

Tunku Annuar dilantik sebagai pengerusi Jemaah Pemangku Sultan, yang akan memastikan pemerintahan negeri berjalan dengan sempurna selepas keberangkatan baginda ke ibu negara pada Selasa.

Sultan Abdul Halim turut berpesan kepada anggota kerajaan negeri dan pentadbir awam supaya melaksanakan tugas dan kewajipan dengan penuh disiplin, dedikasi dan amanah selain meminta pemimpin-pemimpin di semua peringkat supaya menjadi pemimpin yang berpegang teguh kepada nilai-nilai suci dan meletakkan kepentingan orang lain lebih daripada kepentingan sendiri.

"Beta sedih dengan mereka yang sengaja lupa dengan ketentuan ini dan menjadikan masyarakat sebagai boneka untuk dipermainkan tanpa menghiraukan akibat dari perlakuan itu.

"Kita telah menyaksikan kejatuhan pemimpin-pemimpin yang gagah, berkuasa dan megah. Janganlah kita lupa apa yang berlaku adalah takdir dan ketentuan Ilahi dan kita akan selamat jika berpegang teguh kepada jalan dan janji yang telah digariskan oleh yang maha suci," titah baginda.

Kepada seluruh rakyat, baginda mahu mereka sentiasa mengekalkan persefahaman dan hidup di dalam aman damai dan harmoni.

Sultan Abdul Halim bertitah keamanan tidak datang bergolek sebaliknya ia hasil titik peluh dan pengorbanan seluruh pemimpin dan rakyat daripada segenap lapisan dan kaum.

"Janganlah jadi seperti 'kerana nila setitik rosak susu sebelanga'. Beta percaya tidak ada masalah yang tidak dapat diselesaikan dengan sifat toleransi, bertolak ansur, muhibah serta berpegang teguh kepada ajaran agama masing-masing yang mengutamakan ketenteraman dan keamanan umat.

"Ambillah iktibar daripada apa yang berlaku di negara lain kerana keamanan dan kemakmuran yang kita bina selama ini boleh musnah dalam sekelip mata jika kita membiarkan api permusuhan merebak di dalam hati sanubari kita semua," titah baginda.

Sultan Abdul Halim dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong buat kali kedua selepas memegang jawatan sama dari 1970 hingga 1975. - BERNAMA

   

iklan

Video

Selasa, 17 Julai 2018 6:18 PM

'Penyamun terbang' maut dalam kereta curi

Khamis, 12 Julai 2018 1:05 PM

Lempang pelajar ikut suka hati

Selasa, 10 Julai 2018 6:39 PM

Nak 'gugur jantung' tengok pakcik ini memandu

Selasa, 10 Julai 2018 3:06 PM

Pengasuh pijak, hempas anak jagaan

Isnin, 9 Julai 2018 5:30 PM

Ragam si meow & bola!

Jumaat, 6 Julai 2018 5:39 PM

Tak sanggup tengok mayat mangsa kemalangan

Jumaat, 6 Julai 2018 12:48 PM

Durian buah untuk orang kaya?

Kolumnis

iklan

Iklan