SPNB Perkenal Binaan Rumah Lebih Selesa

Diterbitkan: Ahad, 11 Disember 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

IPOH: Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) akan membina Rumah Mesra Rakyat (RMR) yang berkonsepkan reka bentuk hijau yang lebih selesa mulai tahun depan.

Pengarah Urusannya, Datuk Dr Kamarul Rashdan Salleh berkata, sebanyak 10,000 unit RMR yang diluluskan di dalam Bajet 2012 akan dibina dengan konsep demikian.

Beliau berkata, empat reka bentuk baru akan ditawarkan dengan kos sebuah unit kira-kira RM65,000 yang RM20,000 daripadanya akan diberi subsidi oleh kerajaan.

Kerajaan akan menanggung jumlah keseluruhan subsidi itu sebanyak RM200 juta.

Kamarul Rashdan berkata, rumah-rumah tersebut berkeluasan 1,000 kaki persegi berbanding 866 kaki bagi reka bentuk asal.

Antara keistimewaan lain yang turut disediakan pada rumah pasang-siap itu ialah ia diperbuat daripada komponen yang dapat menyerap haba panas serta tempat menadah air hujan.

Reka bentuk sebegitu adalah bagi memenuhi saranan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Awam (PAC) pada tahun 2009 supaya rumah RMR dibina dengan memberi lebih keselesaan kepada penghuninya, katanya kepada pemberita selepas menyerahkan kunci RMR kepada seorang penerima di sini Ahad.

Kamarul Rashdan berkata, bagi mengurangkan beban rakyat untuk memiliki rumah tersebut, tempoh pembayaran baliknya akan dipanjangkan kepada 25 tahun di mana pemilik hanya perlu membayar sekitar RM150 bulan sepanjang tempoh itu. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan