Angkasa Yakin Dapat Laksana Kopsya Awal Januari Ini

Diterbitkan: Ahad, 11 Disember 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUCHING: Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) yakin Koperasi Pembiayaan Syariah (Kopsya) dapat dilaksanakan pada awal Januari ini.

Timbalan Yang Dipertua Angkasa Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata, mereka kini dalam proses melantik anggota lembaga pengarah.

Setakat ini, kira-kira 200 koperasi kredit dengan dana terkumpul berjumlah RM360 juta telah bersetuju menyertai Kopsya, dan akan diperluaskan kepada koperasi lain termasuk peringkat sekolah, katanya kepada pemberita, di sini Ahad.

Katanya, penubuhan Kopsya dijangka dapat memberi lebih banyak faedah kepada koperasi yang didaftarkan di bawah Angkasa, khasnya daripada segi pinjaman kredit, tabung pendidikan serta kemudahan kredit yang lain.

Beliau berkata, walaupun penubuhan Kopsya bukan untuk bersaing dengan institusi perbankan lain namun ia bertujuan untuk memudahkan anggota dalam sesebuah koperasi membuat pinjaman kredit.

Sementara itu, beliau berkata, Angkasa akan menganjurkan lebih banyak program dan seminar bagi meningkatkan integriti pada kalangan anggota sesebuah koperasi khasnya di peringkat anggota lembaga pengarah.

Angkasa akan bekerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia dan Institut Integriti Malaysia bagi memberi kursus kepada anggota koperasi di seluruh negara.

"Tujuan kita melaksanakan program ini bukan bererti tahap integriti anggota koperasi rendah, tetapi bagi memantapkan lagi operasi sesebuah koperasi pada masa akan datang," katanya.

Katanya, institusi koperasi kini bukan hanya tertakluk kepada kawalan Suruhanjaya Koperasi Malaysia tetapi juga SPRM.

Pada masa ini terdapat kira-kira 8,900 koperasi berdaftar di seluruh negara dengan aset berjumlah RM60 bilion, dan untuk tahun lalu sahaja, sektor itu mencatat nilai perniagaan RM10 bilion iaitu satu peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan