PSC Perlu Lebih Fokus Isu Hak Asasi:Suhakam - Berita Semasa | mStar

PSC Perlu Lebih Fokus Isu Hak Asasi:Suhakam

Diterbitkan: Sabtu, 10 Disember 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) pada Sabtu mengesyorkan agar Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Berhubung Penambahbaikan Proses Pilihan Raya (PSC) membuat pertimbangan yang lebih fokus dan berpengetahuan mengenai isu-isu hak asasi di kalangan anggota Parlimen.

Pengerusi Suhakam Tan Sri Hasmy Agam berkata ini sekaligus dapat mengukuhkan proses demokrasi berparlimen di negara ini.

"Setiap penggubalan dasar atau undang-undang baru berkaitan kepentingan negara bukan hanya sekadar mematuhi peruntukan-peruntukan Perlembagaan Persekutuan tetapi juga prinsip-prinsip dan norma-norma hak asasi manusia antarabangsa," katanya pada Majlis Anugerah Hak Asasi Manusia 2011 di sini.

Beliau juga menyeru kerajaan supaya memberi komitmen dan mengadakan usaha-usaha baru yang lebih fokus terhadap instrumen-instrumen teras hak asasi manusia.

"Keluhan perasaan rakyat perlu diamati dan diberi keutamaan tidak kira pihak kerajaan atau pembangkang dalam penyediaan polisi dan pelaksanaan program-program tertentu khususnya untuk golongan wanita, kanak-kanak, warga emas serta Orang Asli Semenanjung dan Orang Asal di Sabah dan Sarawak," katanya.

Bercakap kepada pemberita kemudian, Hasmy berkata Malaysia perlu menjadi peneraju utama dalam menjadi negara utama menjaga hak asasi manusia di kalangan negara-negara Asean.

Pada majlis tersebut yang pertama kali diadakan itu, Sekolah Intergriti telah menerima Anugerah Khas manakala Suara Rakyat Malaysia (Suaram) menerima hadiah bagi Kategori Organisasi.

Seorang wanita asli suku kaum Semai Tijah Yok Chopil menerima hadiah bagi Kategori Individu dan laporan Edisi Siasat Mandarin 'Young Maid For Sale' oleh Kong Lik Hwan dari NTV7 memenangi bagi Kategori Media. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan