Perhimpunan Agung Umno 2011 Catat Sejarah Dua Kali Lafaz Ikrar Setia

Diterbitkan: Sabtu, 10 Disember 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Perhimpunan Agung Umno 2011 dianggap unik oleh pemerhati politik kerana buat pertama kali dalam sejarah Umno menyaksikan 5,447 perwakilan daripada 191 bahagian melafazkan ikrar taat setia kepada parti atau seperti dilaporkan banyak media telah 'berbai'ah', bersumpah.

Bukan sekali, malah dua kali ikrar dilafazkan oleh anggota dan pemimpin Umno pada perhimpunan itu iaitu pertama ketika majlis Taklimat Presiden Umno di hadapan Datuk Seri Najib Tun Razak pada 30 November dan kedua pada akhir perhimpunan 3 Disember yang diketuai Timbalan Presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Ikrar taat setia yang dilafazkan para perwakilan, menjadi elemen penguat kepada anggota Umno untuk komited kepada parti bagi memastikan kemenangan setiap calon Umno dan Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum ke-13 akan datang.

Ada juga cakap-cakap sebelum ini yang mengatakan bahawa ikrar taat setia terpaksa dibuat memandangkan terdapat segelintir anggota Umno yang tidak taat setia kepada parti. Adakah benar bahawa mereka tidak taat setia?

Najib yang juga Perdana Menteri dalam ucapan penggulungan beliau pada hari akhir Perhimpunan Agung Umno 2011 juga menegaskan kekalahan Umno pada pilihan raya umum ke-12 pada 2008 adalah disebabkan ada anggota yang mengkhianati parti.

Sejauh manakah lafaz ikrar taat setia atau yang dilaporkan banyak media sebagai bai'ah itu mampu dan berkesan dalam membendung masalah itu dan mengikat kesetiaan anggota-anggota Umno?

Penganalisis politik, Prof Dr Ahmad Atory Hussain berkata bai'ah adalah satu perkara yang tidak boleh dipandang remeh oleh anggota Umno malah ia memberi implikasi yang besar terhadap kehidupan mereka sebagai umat Islam.

"Bai'ah dalam Umno seingat saya belum lagi dibuat sebelum ini," katanya, yang menambah bahawa kalau ikrar taat setia yang dilakukan baru-baru ini merupakan bai'ah, inilah pertama kali. Bila berbai'ah ia berkait dengan agama.

"Orang Melayu, bila berbai'ah atau erti kata lain bersumpah, bila beliau melanggar sumpah itu, beliau akan dilaknat oleh Allah. Jangan permainkan bai'ah ini," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, Sabtu.

Mengulas dakwaan bahawa Umno terpaksa membuat ikrar itu kerana ada segelintir anggota yang tidak taat setia kepada parti, pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM) itu berkata tujuan ikrar itu adalah untuk 'mengikat' kelakuan anggota Umno daripada mengkhianati parti.

Katanya, Umno berharap dengan ikrar itu juga dapat menambah baik keadaan dalaman parti daripada perpecahan sekaligus mengelakkan berlakunya sabotaj terhadap calon yang dipilih pucuk pimpinan untuk bertanding dalam pilihan raya akan datang.

Beliau juga berpendapat bahawa ikrar adalah salah satu cara yang mampu menghapus sikap berpuak-puak di kalangan anggota Umno, sekaligus dapat membentuk satu pasukan yang mantap ketika menghadapi pilihan raya.

Ahmad Atory berkata dalam memastikan Umno terus mencapai kemenangan dalam pilihan raya, selain faktor calon boleh menang, kebajikan bekas wakil rakyat mereka yang terdahulu juga perlu diberikan perhatian.

"Pada pandangan saya, jika bekas calon tidak dipilih semula, sepatutnya pucuk pimpinan parti menimbangkan untuknya tempat dalam politik. Jangan sampai dia merasa diketepikan begitu sahaja.

"Meskipun dikatakan beliau tidak memberikan pencapaian perkhidmatan seperti yang diharapkan ketika menjadi wakil rakyat, berilah jawatan lain yang sesuai kepada beliau. Ini supaya beliau dapat terus membantu mengukuhkan parti dan tidak berbuat sebaliknya.

"Jangan dibiar hidupnya terdesak. Kalau ini diambil kira saya rasa tidak akan ada unsur sabotaj berlaku dan Umno tidak mempunyai masalah mengekalkan kuasa," katanya.

Cukupkah sekadar 5,447 perwakilan pada perhimpunan agung itu yang berikrar taat setia? Persoalan ini bermain di kepala banyak perwakilan, yang berpendapat bukan saja mereka tetapi juga semua lebih 3.2 juta anggota di semua cawangan dan bahagian perlu berikrar serupa.

Penganalisis politik, Che Hamdan Mohamed Razali berkata perwakilan yang melafazkan ikrar pada Perhimpunan Agung Umno 2011 perlu melafazkan sekali lagi di peringkat akar umbi.

Katanya, ini membolehkan anggota akar umbi mengetahui dan merasai betapa serius dan komitednya pucuk pimpinan parti yang mahukan Umno dan BN mencapai kemenangan lebih baik pada pilihan raya umum akan datang.

"Ikrar itu adalah satu ikatan individu kepada parti dari segi taat setia dan perjuangannya untuk memartabatkan agama, bangsa dan negara. Kalau niat nak masuk parti hanya kerana projek dan jawatan, maka ikrar itu tidak akan ke mana.

"Ikrar yang dilafazkan itu tepat pada masanya dalam mana Umno menangguhkan pemilihan parti dan menumpukan kepada persiapan pilihan raya umum akan datang. Ia juga mampu mengelakkan undi protes jika ia dihayati oleh semua anggota Umno," katanya.

Pensyarah Sains Politik Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Dungun, Terengganu itu berkata dari segi tradisinya ketua bahagian lazimnya dipilih sebagai calon, namun dalam landskap politik semasa, jawatan itu bukanlah 'tiket mudah' untuk dipilih secara automatik bertanding dalam pilihan raya.

Beliau berkata hasil kajiannya dalam beberapa siri pilihan raya umum atau pilihan raya kecil mendapati, selain faktor tidak berpuas hati kerana tidak dipilih menjadi calon, sikap calon pengganti yang tidak menghormati bekas wakil rakyat turut menjadi faktor kekalahan Umno di satu-satu kawasan.

"Jadi eloklah ikrar taat setia ini dilakukan awal supaya siapa-siapa yang hadir pada perhimpunan itu tetapi tidak dipilih sebagai calon, akan redha dan menyokong penuh calon yang dipilih demi kemenangan parti," katanya.

Sementara itu Exco Pergerakan Pemuda Umno Datuk Pirdaus Ismail melihat ikrar yang diketuai Muhyiddin itu sebagai peringatan kepada seluruh anggota supaya meluruskan niat sebelum menghadapi pilihan raya umum akan datang yang disifatkan paling getir.

Katanya, ikrar tersebut perlulah disertakan dengan niat yang ikhlas supaya perjuangan memartabatkan agama, bangsa dan negara dirahmati Allah dan beroleh pahala.

"Kalau orang itu berniat dengan ikhlas ketika membacakan ikrar itu, maka ini adalah satu kerja yang berpahala. Tiada salahnya isi kandungan ikrar itu.

"Kandungannya menyeru ke arah kebaikan. Kalau seseorang itu tidak menerima ikrar itu, bermakna beliau menolak kebaikan. Berdosa atau tidak, ia terserah kepada Allah," katanya, yang juga bekas Imam Masjid Negara. - BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Kolumnis

iklan

Iklan