42,000 Kunjungi Hari Pertama Lima Yang Dibuka Kepada Ramai

Diterbitkan: Sabtu, 10 Disember 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

LANGKAWI: Kira-kira 42,000 pelawat dalam dan luar negara membanjiri Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) di sini bagi menyaksikan pameran udara pada Pameran Maritim dan Udara Antarabangsa Langkawi 2011 (Lima '11) yang mula dibuka kepada orang ramai pada Jumaat.

Pengunjung mengambil peluang untuk menyaksikan pertunjukkan udara di samping mendekati pesawat statik serta ruang pameran milik syarikat-syarikat peserta Lima '11 dari 35 negara.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, jumlah kehadiran yang besar itu membuktikan pameran dwi tahunan berkenaan yang kini memasuki edisi ke-11 semakin kukuh dan terus mencuri tumpuan ramai.

Katanya, selain tarikan daripada segi demonstrasi dan pameran, kejayaan tersebut adalah hasil usaha keras dan kerjasama semua pihak khususnya pihak media yang memberikan publisiti terbaik.

"Hari pertama Lima 2011 telah mencatat rekod jumlah pengunjung paling ramai iaitu 15,000 pelawat perdagangan. Hari ini apabila ia mula dibuka kepada orang awam, sehingga 12.35 tengah hari sahaja lebih 35,000 pengunjung telah datang," katanya kepada pemberita di sini.

Pada edisi Lima kali ini, pihak penganjur bersetuju mengurangkan bayaran masuk kepada RM10 bagi pelawat awam untuk menyaksikan segmen udara di MIEC hari ini dan esok.

Sementara itu, Pengarah Urusan HWLima Sdn Bhd Ahmad Dzuhri Abd Wahab berkata kira-kira 42,000 pelawat termasuk kanak-kanak 12 tahun yang dikecualikan bayaran mengunjungi MIEC sehingga pameran ditutup pada pukul 5 petang ini.

Katanya orang ramai dijangka akan terus menyerbu Lima '11 pada hari terakhir pameran esok.

Pameran segmen udara di MIEC dibuka kepada tetamu kerajaan dan pelawat perdagangan dari 6 Disember hingga hari terakhir esok manakala bagi pengunjung awam, pameran dibuka selama dua hari sehingga esok.

Pertunjukan udara yang dibuka kepada pelawat awam dibuat sebanyak dua kali iaitu pada pukul 10 pagi hingga 11.30 pagi untuk sesi awal dan pukul 2.30 petang untuk sesi petang.

Pameran maritim pula berlangsung di Awana Porto Malai dan dibuka kepada semua sepanjang lima hari pameran itu berlangsung. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan